JKDM rampas rokok seludup bernilai hampir RM4 juta

Sazali (empat dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dan cuba dibawa masuk ke Singapura ketika sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Sazali (empat dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dan cuba dibawa masuk ke Singapura ketika sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok putih dan kretek bernilai hampir RM4 juta termasuk duti dan cukai dalam empat serbuan berasingan di tiga negeri ini bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Sazali Mohamad berkata, serbuan terbaharu dilakukan di tiga rumah di daerah Jerantut, Pahang dan Marang, Terengganu pada 12 September lalu.

"Serbuan itu menemukan dua juta batang rokok putih dan rokok kretek pelbagai jenama belum lulus kastam dianggarkan bernilai RM625,000, manakala duti dan cukai pula RM 2.5 juta.

"Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu sebelum melakukan serbuan. Usaha mengesan pemilik premis-premis berkenaan sedang giat dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor di sini pada Ahad.

Menurutnya, modus operandi sindiket terbabit ialah dengan menjadikan kediaman sebagai tempat penyimpanan rokok yang belum lulus kastam dan dipercayai diimport dari Indonesia, Thailand serta Vietnam.

Sazali berkata, kes kedua pula melibatkan serbuan dilakukan anggota unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor dengan menahan sebuah lori semasa pemeriksaan di Tambak Johor di sini pada 6 September lalu.

Katanya, menerusi pemeriksaan di laluan lori perdagangan di Cawangan Eksport Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu telah menemukan 830,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM166,000, manakala jumlah duti dan cukai pula RM564,400.

"Rokok pelbagai jenama itu dipercayai masih belum lulus kastam yang dibawa bersama dagangan lain untuk dieksport ke Singapura," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pemandu lori berkenaan merupakan lelaki tempatan berusia 39 tahun yang ditahan dan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 September lalu sebelum dijatuhkan hukuman enam bulan penjara.

Jelasnya, modus operandi sindiket terbabit adalah tidak mengikrarkan rokok dengan niat mahu menyeludup tidak bercukai dengan menggunakan lori ke Singapura.

Beliau berkata, dua sindiket terbabit tidak mempunyai kaitan dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam kerana menyimpan barang-barang tidak bercukai.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!