Ajak penyokong solat berjemaah sempena Piala Malaysia

Abd Farid
Abd Farid
A
A
A

MASJID Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri Perak akan menganjurkan Dakwah Jalanan sempena perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Perak FC menentang Sabah FC di sekitar Stadium Perak di sini pada esok.

Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, pengisian utama program berkenaan melibatkan solat Maghrib secara berjemaah di surau Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.

Menurutnya, program tersebut juga akan diselitkan sesi tazkirah sebelum solat yang menyentuh mengenai kewajipan menunaikan solat di mana sahaja selain menggalakkan orang ramai terutama golongan muda solat berjemaah.

"Program ini bukanlah baharu kerana sebelum pandemik kita pernah laksanakan di pekarangan Stadium Perak. Kali ini kita buat kembali dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan untuk memudahkan orang ramai menunaikan solat sebelum perlawanan.

"Apa yang kita mahu sampaikan di dalam program ini ialah solat itu satu kewajipan dan mesti dilaksanakan dalam apa juga keadaan. Islam tidak melarang kita bersukan sebaliknya riadah dan ibadat itu tak boleh dipisahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abd Farid berkata, program Dakwah Jalanan tersebut akan dikendalikan oleh Sahabat Belia Masjid Negeri Perak dan orang ramai amat dialu-alukan untuk turut serta.

Pada 25 September Perak FC akan melayani kunjungan Sabah FC bagi perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak di sini.

Dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Likas tempoh hari, Perak FC berjaya mengikat Sabah FC dengan jaringan 2-2.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!