Permintaan beras tempatan meningkat 50 peratus
PASIR MAS - Permintaan beras putih tempatan meningkat 50 peratus di negeri ini susulan pengumuman kenaikan harga beras putih import awal September lalu.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri Kelantan, Datuk Aimi Jusoh berkata, kualiti beras tempatan dan harga berpatutan menjadi antara faktor permintaan berganda daripada penduduk.
Menurutnya, petani di LPP menghasilkan beras berkualiti tanpa sebarang bahan kimia sejak 20 tahun terlibat dalam pengendalian beras.
"Kami dapat mengawal kualiti beras kerana bermula daripada penanaman hingga pengilangan dilakukan sendiri oleh petani.
"Ia juga antara komitmen kira-kira 5,000 ahli PPK Kangkong yang mengusahakan tanaman padi dengan keluasan sawah 2,400 hektar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Akhbar Khas Berkaitan Isu Beras Putih Tempatan (SST) dan Pelancaran Jualan Secara Besar- Besaran di PPK Kangkong di sini pada Ahad.
Aimi yang juga Ahli Jemaah Pengarah PPK Kangkong memaklumkan, pihaknya turut mengagihkan beras ke 27 PPK terpilih bagi membolehkan beras diterima semua pelanggan.
"Pengedaran sebanyak 100 kampit dilakukan dua kali seminggu dan kita akan tingkatkan jualan bergantung kepada permintaan," katanya.
Jelas beliau, beras juga dijual di bawah paras harga kawalan bagi berat lima kilogram (kg) yang dijual pada harga RM13 dan 10kg pada RM25.50.
"Kami turut menjadi sebahagian daripada pembekal beras untuk jualan Agro Madani.
Tambah Aimi, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan kemungkinan berkaitan harga beras, pihaknya tetap konsisten dengan harga yang diperkenalkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!