Sembilan individu dituduh ceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi

Sembilan individu dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling pada Ahad.
Sembilan individu dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling pada Ahad.
A
A
A

BALING - Sembilan individu termasuk lima warga asing tidak mengaku bersalah pada Ahad atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu.

Mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Najwa Che Mat di Mahkamah Sesyen di sini.

Berdasarkan pertuduhan, Tho Wei Loon, 45, Chen Wei Ming, 45, Zarhabi Shaari, 61, dan Abdul Halim Nawang, 61, yang merupakan rakyat tempatan dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartment 35 Hutan Simpan Rimba Teloi pada jam 4.12 petang 14 September lalu.

Lima lagi tertuduh iaitu Li Juemin, 49, warganegara China, Aswadi, 43, Dedy Junaidi, 40, Muhamad Zaenuri, 31 dan Nasron, 51, yang merupakan warganegara Indonesia turut didakwa pertuduhan yang sama.

Mereka dituduh di bawah Sub Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Najwa kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 setiap seorang kepada Wei Loon, Wei Ming, Zarhabi, Abdul Halim dan Juemin dengan seorang penjamin.

Bagi Aswadi, jaminan ditetapkan sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Tiga lagi tertuduh iaitu Dedy Junaidi, Muhamad Zaenuri dan Nasron pula tidak ditawarkan jaminan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan telah dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Halina Othman.

Dalam pada itu, Wei Loon turut dituduh menggaji empat imigran haram warganegara Indonesia mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 yang boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap seorang yang diambil bekerja.

Juemin pula turut dituduh melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu gagal mematuhi syarat Pas Lawatan (Sosial) dengan bekerja sebagai mengambil dan menguji sampel tanah di tempat tangkapan berkenaan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada Wei Loon, manakala RM5,000 kepada Juemin masing-masing dengan seorang penjamin.

Tertuduh Wei Loon, Wei Ming dan Juemin diwakili peguam Tan Yi Bin, Abdul Halim diwakili peguam Hairul Azam Hassan,manakala Zarhabi diwakili peguam Amnach a/l Ee Niam.

Empat lagi tertuduh warga negara Indonesia tidak diwakili peguam dan hakim menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!