KPM, Farm Fresh bakal buka 10 pusat multidimensi seluruh negara
NIBONG TEBAL- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama pembekal susu sekolah bagi sesi 2023/24, Farm Fresh akan membuka 10 pusat multidimensi di seluruh negara sebagai usaha mencegah tekanan kemiskinan multi dimensi dalam kalangan murid-murid.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hasrat itu akan melibatkan kos sebanyak RM2 juta membabitkan 500 murid untuk program selama setahun.
Menurutnya, pelaksanaan program tersebut adalah usahasama KPM dan Farm Fresh untuk mencegah tekanan kemiskinan multidimensi khususnya dalam kalangan murid-murid rancangan makanan tambahan (RMT) yang kini semakin meruncing akibat kesan ekonomi yang semakin mencabar.
"Kemiskinan multidimensi bermaksud kemiskinan atau kekurangan daripada pelbagai sudut kehidupan iaitu daripada taraf kewangan keluarga, taraf pendidikan, kesihatan, persekitaran atau taraf hidup.
"Tekanan-tekanan ini akan cenderung ke arah tekanan emosi yang sangat tinggi kepada murid-murid ini. Oleh itu, daripada cetusan idea saya dan Farm Fresh menyahut program ini untuk dijadikan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya selepas merasmikan Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Acheh di sini pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Pusat Multidimensi di SK Sungai Acheh adalah pusat kedua dibuka setelah program rintis dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul di Kuala Lumpur Jun lalu.
"Pelbagai manfaat yang akan dinikmati murid-murid yang terpilih sepanjang program selama satu tahun ini antaranya kelas tuisyen secara percuma yang diadakan selama tiga hari seminggu termasuk kelas pengajian al-Quran serta kelas kerohanian, kaunseling untuk aspek mengawal tekanan hidup dan emosi.
"Kelas tuisyen ini melibatkan murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 serta mata pelajaran yang utama seperti seperti Sains, Matematik,Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
"Lapan sekolah lagi akan kita perincikan dari masa ke semasa," ujarnya.
Tambahnya, pelbagai aktiviti-aktiviti juga telah dirancang untuk menambah ilmu kemahiran hidup seperti pertanian, keusahawanan, aktiviti jahitan dan aktiviti motivasi untuk membuka idea dan potensi diri.
"Selain itu, murid-murid ini akan menikmati menu sihat percuma, pemeriksaan kesihatan percuma serta mendapat bekalan susu percuma sepanjang kelas.
"Guru sekolah terpilih merupakan tunggak utama kelancaran program ini dan majoriti dilantik sebagai tenaga pengajar untuk kelas tuisyen percuma tersebut.
"Bagi melihat kejayaan serta matlamat program ini tercapai, pihak sekolah akan mengambil data awal akademik dan kesihatan murid-murid ini sebelum kelas bermula dan akan dinilai semula setelah program ini tamat," katanya.
Sementara itu, Fadhlina turut menjemput semua rakan sektor korporat bersama-sama KPM bagi menjayakan lebih banyak program untuk memberi manfaat kepada sekolah dan komuniti.
"Saya fikir program ini bukan sahaja sebagai satu agenda menoktahkan kemiskinan tetapi kepentingan rakan-rakan sektor korporat untuk memberikan sokongan dan membina ekosistem ini dengan lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!