Banjir kilat di Perak akibat taburan hujan luar biasa
IPOH - [DIKEMAS KINI] Taburan hujan luar biasa sejak beberapa hari lalu menjadi punca berlakunya kejadian banjir terutama di beberapa kawasan di daerah Kerian.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ahmad Shahrir Md Naziri berkata, rekod menunjukkan taburan hujan menunjukkan kala ulangan purata 50 tahun ARI (Purata Selang Ulangan).
"Bacaan ini sangat besar bagi satu kejadian banjir untuk sungai-sungai kecil. Kita lihat kebanyakan banjir berlaku di kawasan sungai yang tidak lebar.
"Kebiasaannya kapasiti yang boleh ditampung oleh sungai-sungai ini sekitar 2 hingga 5 tahun ARI sahaja. Bayangkan 50 tahun ARI yang datang jadi yang pasti keupayaan sungai tidak mampu menampung semuanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat negeri Perak dan pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta yang disempurnakan oleh Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di kolam takungan Sungai Pinji, Tanjung Rambutan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pihaknya telah melaksanakan awal kerja-kerja persediaan bagi menghadapi banjir di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.
"Pelbagai kaedah dilaksanakan dan ia berjalan lancar cuma agak sedikit mengejutkan apabila hujan turun melampaui daripada apa yang kita jangkakan.
"Bagaimanapun projek yang sedang dalam pelaksanaan, arahan untuk mempercepatkannya telah dikeluarkan dan dijangka dapat disiapkan lebih awal," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Shahrir menafikan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Matang Tengah dekat Bagan Serai bukanlah disebabkan ban pecah.
Tambah beliau, aras ban mendap di lokasi kerja-kerja pembaikan pintu air dan hujan menyebabkan limpahan air dan seterusnya banjir.
"JPS Daerah Kerian dalam usaha untuk mengeringkan kawasan-kawasan digenangi air banjir dengan meletakkan pam-pam bergerak.
"Selain itu, kita meminta kerjasama daripada pihak kuari untuk mempercepatkan dan mengeluarkan bahan mentah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan segera," katanya.
Banjir yang berlaku di daerah Bagan Serai itu menyebabkan 38 mangsa terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak sejak Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!