Pemimpin pembangkang juga kena isytihar harta: Dr Mahathir
PUTRAJAYA - Pemimpin pembangkang juga akan dikenakan tindakan mengisytiharkan harta, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, tindakan itu dikenakan sebagai 'bayaran' kepada keterbukaan kerajaan mendengar kritikan daripada pihak pembangkang.
“Pembangkang mempunyai sedikit kuasa, umpamanya mereka mempunyai kuasa untuk mengkritik kerajaan, ia bayaran untuk itu. Mereka juga perlu isytiharkan aset,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kali ke-8 Jawatan Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di sini.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut tidak menolak kemungkinan pengisytiharan harta turut melibatkan ahli-ahli keluarga menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli Parlimen.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara berkenaan perlu dibawa kepada perhatian speaker Dewan Rakyat, bagi meminda perlembagaan sebelum ia dapat dilaksanakan.
"Semua menteri dan timbalan menteri, dan kita juga akan panjangkan kepada semua ahli Parlimen walaupun mereka dalam parti lawan," katanya.
Selain daripada cadangan mewajibkan pengisytiharan harta, kerajaan bersetuju membawa cadangan lain seperti melaksanakan pelan anti rasuah peringkat organisasi masing-masing, mengadakan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan anti rasuah di peringkat kementerian.
Bukan itu sahaja, cadangan tersebut turut menyatakan untuk meningkatkan ketelusan perolehan awam dan pengurusan risiko rasuah dan mewujudkan pelaksanaan penerimaan hadiah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!