RUU Sumber Air Perak 2023 ganti akta lama

Mohammad Nizar menandatangani plak simbolik merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat negeri Perak dan pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta di Tanjung Rambutan pada Ahad.
Mohammad Nizar menandatangani plak simbolik merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat negeri Perak dan pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta di Tanjung Rambutan pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Perak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini adalah memastikan pengurusan sumber air negeri ini dilaksanakan dengan lebih baik.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pengurusan sumber air mentah kini bergantung kepada Akta Air 1920 (Akta 418) dan tiada badan khusus diwujudkan untuk kawal selia sumber mentah tersebut.

"Kita hendak tubuhkan sebuah lembaga pengarah pengurusan air. Sekarang ini, pengurusan air negeri bergantung kepada Akta 418, akta lama berusia lebih 100 tahun.

"Itupun diserah bulat-bulat kepada pentadbir tanah untuk menguruskannya dan pentadbir tanah tidak ada masa untuk uruskan air.

"Semakan pihak audit mendapati Perak tiada badan untuk menguruskan air. Kita terpaksa teruskan (RUU) supaya kawal selia air negeri lebih terjamin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat negeri Perak dan pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta di kolam takungan Sungai Pinji, Tanjung Rambutan pada Ahad.

Mohammad Nizar melawat reruai pada program sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat negeri Perak dan pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta di Tanjung Rambutan pada Ahad.
Mohammad Nizar melawat reruai pada program sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat negeri Perak dan pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta di Tanjung Rambutan pada Ahad.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Ahmad Shahrir Md Naziri dan Pengarah Global Environment Centre (GEC), Faizal Parish.

Mohammad Nizar berkata, sekira diluluskan, ia mencerminkan tanggungjawab kerajaan dalam mengawal selia sumber air mentah negeri.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya jawatankuasa itu nanti, ada pengerusi, ahli lembaga pengarah, petugas dan pakar-pakar berkaitan air.

"Mereka ini akan pantau penggunaan air mentah di Perak termasuk sungai, kolam, lombong, tasik dan air laut sekali. Air terawat diurus Lembaga Air Perak (LAP),"ujarnya.

Sebelum ini, RUU Sumber Air Perak pernah dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam sidang DUN tahun lalu.

RUU Sumber Air Perak 2022 ini digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air di negeri Perak serta menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Ketiadaan badan khusus itu menyebabkan kawal selia ke atas penggunaan sumber air negeri tidak dapat dioptimumkan khususnya daripada aspek pelesenan dan penguatkuasaan melibatkan sumber air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!