Kanak-kanak kes dera diserah kepada ibu kandung - Exco
PORT DICKSON - Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang diselamatkan polis selepas disyaki menjadi mangsa dera ayah kandung dan ibu tirinya sejak Mac lalu di Jempol, akan diserahkan kepada ibu kandungnya.
Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, ketika ini kanak-kanak tersebut masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
"Pihak hospital masih menjalankan pemantauan kesihatan termasuk dari segi emosi dan traumanya. Selain itu, kes berkenaan masih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Bagaimanapun, selepas siasatan polis dan kes perbicaraan di mahkamah selesai, anak ini akan diserahkan kepada ibu kandungnya. Ibunya sudah pun berada di samping kanak-kanak itu di hospital yang mana sebelum ini dia (ibu kandung) menetap di Sarawak," katanya pada Ahad.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, bapa kandung dan ibu tiri mangsa ditahan selepas disyaki mendera kanak-kanak itu dalam kejadian di Bahau, Jempol.
Kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik melarikan diri dari rumahnya setelah tidak tahan diperlakukan sedemikian oleh pasangan tersebut.
Pasangan berusia 27 dan 31 tahun itu kemudian dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Khamis lepas selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya seorang anak lelaki mereka hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran dan menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 80 jam.
Dalam pada itu, Noorzunita Begum berkata, tiga lagi adik-beradik tiri mangsa, yang berusia empat, tiga dan satu tahun tiga bulan pula kini berada di bawah jagaan nenek sebelah ibu mereka di Jempol.
Sebelum itu, Noorzunita Begum hadir pada perasmian penutup Program Wanita Inspirasiku (WINS), Healthy and Bright Kids Carnival dan Seminar Kesihatan Kemas Negeri Sembilan di Dataran Teluk Kemang di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!