Pencapaian di Sukan Asia jadi indikator hadapi Olimpik 2024
PENCAPAIAN pada Sukan Asia Hangzhou 2022 akan menjadi indikator penting kepada kontinjen negara dalam persediaan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Beliau berkata, ia berdasarkan tahap persaingan dan prestij sukan terbesar di benua Asia itu selain kehadiran atlet bertanding adalah dari negara utama yang memenangi pingat di Sukan Olimpik seperti China.
"Sukan Asia merupakan platform lebih terbuka dan luas untuk atlet meraih pengalaman dan mengharungi cabaran persaingan yang amat membantu mereka dalam persediaan ke Sukan Olimpik.
"Kebanyakan atlet menggalas cabaran negara di Sukan Asia itu juga adalah mereka yang sama akan beraksi di Olimpik, jadi ini adalah tempat boleh kita ukur iaitu meningkatkan prestasi dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Pemimpin Bersama Masyarakat Parlimen Hang Tuah Jaya bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Ayer Keroh pada Ahad.
Adam Adli berkata, pihaknya juga yakin sasaran 27 pingat pada Sukan Asia itu mampu dicapai biarpun terdapat beberapa perkara yang memberi kesan kepada kontinjen negara, antaranya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Sukan Asia Hangzhou 2022 yang membuka tirai secara rasmi semalam, menyaksikan kontinjen negara menghantar seramai 288 atlet yang bersaing dalam 22 daripada 40 sukan dipertandingkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!