Giliran Amirull sambar Jersi Polka Dot
PASUKAN profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) masih mengekalkan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) sebaik berakhirnya Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sebentar tadi.
Bagaimanapun, jersi berkenaan kini bertukar tangan kepada Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang 'merampas' daripada rakan sepasukannya yang juga Raja Bukit 2020 dan 2022, Muhamad Nur Aiman Zariff.
Amirull berjaya menawan kedua-dua zon pendakian - Setiu dan Pelong pada perlumbaan sejauh 186.2 kilometer (km) itu, sekali gus mendahului carta dengan pungutan empat mata ketika ini.
Aiman pula jatuh ke tangga kedua apabila kekal tiga mata, diikuti pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan yang masih menyarung Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) di tempat ketiga dengan dua mata.
"Alhamdulillah rezeki saya (meraih Jersi Polka Dot). Hari ini perancangannya untuk membuat breakaway, paling tidak dapat mengacau mata di zon pendakian.
"Syukur... apa yang dirancang hari ini menjadi. Esok (Isnin) ada laluan berbukit yang panjang, (jadi) kalau boleh jika ada breakaway, jangan bagi (peluang) kepada pelumba lain untuk mengutip mata.
"Kami akan berbincang semula dengan jurulatih bagaimana pula strategi perlumbaan esok," kata Amirull yang kali pertama menyarung Jersi Polka Dot pada Peringkat 1 LTdL 2017 dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu.
Terdahulu, Aiman berkata, dia mahu memberi tumpuan penuh bagi menghadapi Peringkat 3 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah pada Isnin.
Pada perlumbaan sejauh 183.1km itu, terdapat empat zon pendakian iaitu dua berstatus kategori 2 (KOM2) di Jeli dan Seri Banding, satu (KOM1) di Puncak Titiwangsa dan (KOM3) di Sungai Rui.
"Saya akan cuba berada dalam kelompok memburu mata di zon pendakian bersama tiga lagi rakan sepasukan lain, Jeroen Meijers, Jambaljamts Sainbayar dan Aiman.
"Saya juga akan cuba bertahan berada dalam kelompok itu kerana kami (TSG) ada tiga pakar pendakian, jadi fokus kepada Jeroen, Sainbayar dan Aiman," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!