Miss SHOPhia Go Travel promosi keunikan Pulau Pinang

Tourism Malaysia mengumumkan Miss SHOPhia Go Travel akan diadakan di Pulau Pinang pada 27 hingga 29 Oktober depan.
Tourism Malaysia mengumumkan Miss SHOPhia Go Travel akan diadakan di Pulau Pinang pada 27 hingga 29 Oktober depan.
A
A
A

PAMERAN pelancongan, Miss SHOPhia Go Travel bakal kembali ke Pulau Pinang pada 27 hingga 29 Oktober 2023 di Gurney Paragon Mall.

Acara yang bertepatan dengan sambutan akhir tahun ini akan memaparkan pelbagai produk pelancongan di Malaysia.

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai diskaun dan tawaran yang menarik selain pengisian hiburan seperti persembahan busker, persembahan spa dan masakan, Miss SHOPhia Wheel of Fortune, persembahan artis tempatan dan cabutan bertuah.

Sempena kempen pelancongan ekstravaganza itu juga, Miss SHOPhia Shopping Hunt 5.0 akan turut diadakan pada 28 Oktober 2023.

Pemburuan mendebarkan itu berperanan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran tentang daya tarikan Pulau Pinang dan menyerlahkan tumpuan kepada ikon khusus yang disayangi iaitu Miss SHOPhia.

Kali ini, sentuhan baharu diberikan kerana peserta digalakkan untuk menerima pilihan perjalanan yang mampan seperti pengangkutan awam dan kemudahan perkhidmatan e-hailing untuk mengakses tempat membeli-belah, tapak warisan UNESCO, hidangan kulinari yang lazat dan pelbagai lagi.

Tourism Malaysia bekerjasama dengan Penang Global Tourism sebagai rakan strategik dan Penang Development Corporation, The Top Penang dan Gurney Paragon Mall menjadi penaja lokasi. Malaysia Airlines Berhad dan Firefly pula tampil sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, Miss SHOPhia Go Travel dan Miss SHOPhia Shopping Hunt 5.0 akan mempamerkan kekayaan budaya Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemandangan membeli-belah yang meriah, tapak warisan UNESCO dan kepelbagaian gastronomi akan menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada penduduk tempatan dan pelancong antarabangsa.

"Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk menekankan kebolehcapaian dan daya tarikan destinasi yang mempesonakan ini sambil menyokong pilihan perjalanan yang mampan dan mudah,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika), Manoharan Periasamy pada pra pelancaran Miss SHOPhia Go Travel dan Miss SHOPhia Shopping Hunt 5.0 di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu katanya, Tourism Malaysia akan menganjurkan lawatan suai kenal untuk rakan media dari India, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei untuk mempamerkan keindahan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang Miss SHOPhia Go Travel dan Miss SHOPhia Shopping Hunt 5.0, sila layari www.malaysia.travel atau ikuti Facebook Miss SHOPhia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!