Lelaki ditahan campak cat putih ke kawasan masjid
ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan mengunci pintu pagar masjid dan mencampakkan satu tong cat berwarna putih di pekarangan Masjid Jamek Qaryah Taman Kucai, Kulim pada 19 September lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian pada jam 3.26 pagi tersebut telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) masjid dan pengerusinya telah membuat laporan jam 10.30 pagi pada hari sama.
Menurutnya, tindakan suspek berusia 43 tahun tersebut telah mengundang isu kerana didakwa telah membuang lemak babi dan polis menafikan perkara tersebut kerana tidak melibatkan isu keagamaan.
"Perkara ini telah menjadi satu isu menyatakan buang lemak babi tapi saya menafikan semua tersebut. Kita dah tangkap individu tersebut pada Ahad dan direman selama empat hari.
"Kejadian telah dilakukan oleh seseorang yang berada di bawah pengaruh dadah dan bila kita periksa dia positif dadah, dalam pengakuannya dia ada halusinasi yang mana ada seseorang yang membisikkan sesuatu kepadanya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Ahad.
Fisol berkata, lelaki tersebut telah ditahan pada jam 4 pagi pada Ahad di tepi Jalan Batu 6, Sungai Seluang, Lunas, Kulim yang berada lebih kurang tiga kilometer dari tempat kejadian.
Menurutnya, tangkapan tersebut adalah hasil maklumat orang awam yang melihat suspek menaiki sebuah van berwarna biru dan telah membaling beberapa batang colok sembahyang di hadapan pintu utama masjid.
"Hasil soal siasat awal telah mendapati suspek mengaku terlibat di dalam kes sebelum ini dan ingin mengulangi tindakan tersebut kerana dikatakan ada bisikan kepadanya," ujar beliau.
Tambahnya, hasil semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai empat kes dadah yang telah dihukum.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengundang ancaman kepada agama dan perkauman di mana sabit kesalahan boleh di hukum penjara dua hingga lima tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!