Kedai aksesori terbakar, juruteknik bantu selamatkan kenderaan pelanggan
KOTA BHARU - Tindakan pantas seorang juruteknik kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) membantu mengalihkan beberapa kenderaan pelanggan menyelamatkannya daripada musnah dalam kebakaran lot kedai tiga tingkat di bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai di sini pada Ahad.
Kejadian berlaku pada jam 1.21 tengah hari itu memusnahkan 70 peratus bangunan termasuk sebuah kedai aksesori kenderaan dan ruang pejabat.
Juruteknik itu, Mohd Syarifuddin Ibrahim, 22, berkata, ketika kejadian, dia sedang membaiki ATV di belakang bangunan kedai tersebut selang tiga lot dari tempat kerjanya sebelum terhidu bau hangit sebelum menyedari terdapat kepulan asap.
Menurutnya, selepas itu dia segera berlari ke bahagian depan untuk memaklumkan kepada pemilik kedai, namun melihat lelaki berusia 40-an tersebut sedang berusaha memadam api.
“Kepulan asap keluar dari bahagian belakang bangunan dan tidak lama selepas itu bunyi percikan api makin kuat, tidak sampai lima minit kebakaran menjadi marak.
“Saya dan orang ramai yang kebetulan lalu di tempat kejadian turut membantu mengalihkan Toyota Alphard, dua kereta Perodua Kancil dan kira-kira lima motosikal milik pelanggannya ke tempat selamat,” kata lelaki itu ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Ahad.
Mohd Syarifuddin berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan orang awam turut membantu menghubungi pihak bomba.
Tambahnya, kebakaran itu juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di jalan tersebut kerana terjadi pada waktu trafik sesak.
“Alhamdulillah, tidak ada cedera semasa cuba membantu memadam kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fakaruddin brahim berkata, 18 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung dan Kota Bharu terlibat dalam usaha memadam kebakaran.
Menurut beliau, operasi juga membabitkan dua jentera Fire Rescue Tander (FRT) dan seunit lori tangki air jabatan itu.
Katanya, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.
“Pihak bomba tiba di lokasi pada jam 1.52 tengah hari sebelum berjaya mengawal api sekitar jam 2 petang.
“Usaha memadam kebakaran juga sukar kerana payah untuk masuk ke dalam bangunan akibat keadaan binaan yang tertutup selain asap tebal, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!