Pesakit kedua di AS terima transplan jantung babi

Faucette tidak boleh menerima jantung manusia kerana penyakit vaskular dan komplikasi pendarahan dalaman. - Foto Agensi
Faucette tidak boleh menerima jantung manusia kerana penyakit vaskular dan komplikasi pendarahan dalaman. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki berusia 58 tahun di Amerika Syarikat (AS) menjadi pesakit kedua di dunia menerima transplan jantung babi yang diubah suai secara genetik.

Prosedur itu dilakukan pakar di University of Maryland School of Medicine ke atas Lawrence Faucette pada Rabu lalu setelah veteran tentera laut tersebut dikatakan tidak boleh menerima jantung manusia kerana penyakit vaskular dan komplikasi pendarahan dalaman.

“Faucette kini dapat bernafas dengan sendiri dan jantung baharu itu berfungsi dengan baik tanpa memerlukan sokongan peralatan,” jelas universiti itu dalam satu kenyataan.

Beliau turut diberikan ubat antipenolakan dan terapi antibodi baharu untuk mengelakkan tindak balas yang mungkin menjejaskan tubuhnya.

Prosedur pemindahan organ haiwan atau xenotransplantation dijangka menawarkan penyelesaian kepada kekurangan penderma organ memandangkan lebih 100,000 rakyat Amerika kini berada di dalam senarai menunggu.

Pada awal bulan lalu, NYU Langone Hospital Transplant Institute di New York mengumumkan kejayaan pembedahan sama ke atas pesakit mati otak yang mencipta rekod kerana dapat berfungsi tanpa masalah selama 61 hari. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!