Penyertaan bekas ahli UMNO tak gugat peluang BN di Pelangai - Amizar

Amizar beramah mesra bersama pengunjung sempena kempen PRK DUN Pelangai di tapak pasar malam Felda Chemomoi pada Ahad. - Foto Bernama
Amizar beramah mesra bersama pengunjung sempena kempen PRK DUN Pelangai di tapak pasar malam Felda Chemomoi pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yakin penyertaan bekas ahli UMNO, Haslihelmy DM Zulhasli yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tidak akan menggugat peluang beliau untuk memenangi kerusi itu.

Amizar berkata, setakat ini, beliau melihat 'angin' pengundi di kawasan itu lebih memihak kepada BN berbanding calon lain.

"Insya-ALLAH saya tidak tergugat, kita negara demokrasi, kita tidak menghalang sesiapa untuk bertanding, silakan bertanding di sini, kita buka peluang pada sesiapapun,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di pasar malam Felda Chemomoi di sini dengan diiringi Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

PRK Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Amizar, Haslihelmy dan Kasim Samat yang mewakili Perikatan Nasional.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keahlian Haslihelmy dalam parti itu gugur secara automatik selepas bertanding di PRK Pelangai.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan kempen bagi mendekati pengundi, Amizar yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong berkata, di peringkat awal beliau memilih untuk bertemu dan memberi penerangan kepada jentera parti.

"Pecutan awal ini, kita jumpa jentera kita dulu, ahli-ahli kita, pastikan ada perancangan, mereka faham, ada perancangan baru boleh berfikir mengenai kemenangan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!