Perbanyakkan latihan simulasi bencana

Lebih 100 anggota bomba melibatkan semua unit dalam JBPM Perak terlibat dalam DMex kali ini. - Foto JBPM Perak
Lebih 100 anggota bomba melibatkan semua unit dalam JBPM Perak terlibat dalam DMex kali ini. - Foto JBPM Perak
A
A
A

PELUANG melihat secara dekat Latihan Pengurusan Bencana (DMex) di Hospital Teluk Intan pada 16 September lalu memberi gambaran jelas terhadap tahap kesiapsiagaan pasukan penyelamat dan perubatan dalam menghadapi keadaan kecemasan dan krisis luar jangka di negara ini.

Latihan itu menggabungkan lapan pasukan keselamatan dan agensi penyelamat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), paramedik, Jabatan Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan bantuan Unit Udara Bomba dengan pembabitan seramai 140 anggota.

Pelbagai senario diuji sepanjang lebih empat jam latihan antaranya letupan dan kebakaran di wad pesakit, kebocoran bahan radioaktif di bilik Jabatan X-ray serta runtuhan bangunan bertujuan menilai kemahiran mereka dalam menguruskan krisis.

Pelaksanaan latihan tersebut telah membolehkan setiap agensi mengukuhkan koordinasi, keupayaan dan kecekapan mereka mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20 dan Sistem Pengurusan Insiden (IMS) bagi tujuan penambahbaikan.

Secara ringkasnya, latihan merupakan satu aktiviti yang dijalankan untuk membiasakan diri dengan sesuatu situasi atau keadaan.

Latihan yang efektif akan menghasilkan pelaksanaan yang terkawal dan konsisten selain melatih individu atau pasukan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.

Simulasi pula menggambarkan keadaan sebenar atau hampir sama dengan kejadian mengambil kira faktor-faktor luar dugaan yang tidak dapat dikawal termasuk keadaan sekeliling dan manusia.

Negara luar memberi penekanan serius terhadap latihan simulasi bertujuan untuk menentukan keadaan sebenar dan membandingkannya dengan keadaan yang dikehendaki.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya prestasi sebenar kurang daripada prestasi dikehendaki, keadaan itu dapat diperbetulkan menerusi perubahan dari segi pengetahuan dan kemahiran.

Taiwan contohnya pada tahun lalu membuat simulasi permainan perang sebagai latihan bagi memintas serangan China dari laut dalam latihan perang tahunan di negara itu.

Apabila simulasi diadakan secara terbuka di tempat-tempat awam dengan keadaan realiti sebenar, juruaudit pasukan keselamatan dapat menilai dengan lebih tepat kekurangan gerak langkah anggota yang terlibat.

Tindak balas orang awam dalam sesuatu situasi kecemasan melalui simulasi juga sudah tentu memberi data penting dalam usaha memperbaiki gerak kerja operasi seterusnya.

Ini menjelaskan bahawa hanya dengan latihan simulasi, negara boleh tingkatkan kesediaan dalam menghadapi sebarang kecemasan.

Di Malaysia, kaedah simulasi yang popular dijalani melibatkan kecemasan di hospital, kemalangan di tempat kerja dan laluan tragik, bencana di tanah tinggi serta banjir juga simulasi melibatkan persediaan menghadapi pilihan raya.

Berdepan dengan perubahan teknologi, sumber manusia dan iklim, kita tidak boleh mengetepikan segala kemungkinan dan implikasi situasi luar jangka yang bakal berlaku dalam negara.

Kejadian seperti tragedi kebakaran hutan di Hawaii yang mengorbankan sekurang-kurangnya 100 nyawa dan bencana alam di China yang memberi kesan kepada hampir 16 juta orang serta mengakibatkan 147 kematian pada Julai lalu, perlu dijadikan ikhtibar.

Satu anjakan besar perlu dilakukan untuk menambah baik latihan simulasi pasukan negara agar mereka dapat menyiapkan kebolehan dan ketangkasan, bertindak lebih baik terutama dalam situasi mengancam nyawa.

Usaha mewujudkan suasana alam persekitaran latihan yang hampir sama dengan suasana kerja sebenar perlu diperbanyakkan merangkumi semua aspek keselamatan.

Ini bagi memastikan segala proses mengatur gerak dan mewujudkan kerjasama baik antara semua agensi penyelamat terutama kesediaan logistik, sumber tenaga dan kepakaran dapat diselaraskan hingga peringkat tertinggi.

* Normawati Adnan adalah wartawan Sinar Harian Biro Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!