Imam Masjid Shanxi suka songkok Malaysia

Hassan menyambut kedatangan delegasi media antarabangsa di pekarangan Masjid Shanxi.
Hassan menyambut kedatangan delegasi media antarabangsa di pekarangan Masjid Shanxi.
A
A
A

YINING - "Apa nama topi yang pak imam pakai sekarang? Kopiah bukan, doppa (topi orang Uighur) pun bukan kerana saya lihat tiada lelaki Hui di sini yang memakainya."

Demikian soalan penulis kepada Imam Masjid Shanxi, Hassan Mohammad Tahir sebaik sahaja lawatan ke masjid bersejarah di Urumqi itu berakhir.

Mendengar pertanyaan penulis, Hassan atau dikenali sebagai Ma Junrong dalam kalangan penduduk tempatan hanya tersenyum dan memberitahu, ia bukan topi tradisional masyarakat Islam Hui.

“Saya amat menyukainya kerana ia cantik dan amat selesa apabila dipakai. Ini saya beli di Malaysia,” ujarnya.

Hassan kelihatan segak dengan songkok baldu buatan Malaysia.
Hassan kelihatan segak dengan songkok baldu buatan Malaysia.

Penulis membalas kenyataan Hassan: “Ya, pak imam. Ini kami panggil songkok.” Hassan sekali lagi tersenyum dan tidak menyangka bahawa penulis berasal dari Malaysia.

“Jadi kamu datang dari Malaysia? Subhanallah. Ya, ya ini saya beli di tempat kamu.

“Saya pernah ke sana, negara yang cantik orangnya ramah dan mesra,” ujar Hassan sambil membuka songkok baldu miliknya dan menunjukkan label 'buatan Malaysia' kepada penulis.

Artikel Berkaitan:

LAWATAN KE MASJID SHANXI

Lawatan ke Masjid Shanxi adalah sebahagian daripada acara yang telah diatur Pejabat Penerangan Dewan Negara China sempena program Kembara ke Zon Teras Jalur Ekonomi Laluan Sutera, baru-baru ini.

Ia disertai lebih 20 wartawan dari pelbagai agensi berita termasuk Australia, Amerika Syarikat (AS), Portugal, Perancis, Jepun, Kirgiztan, Filipina, Rusia, Arab Saudi, Sri Lanka, Tajikistan, Thailand, Turkiye dan Malaysia.

Program lapan hari itu memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi, etika, hal ehwal agama, perlindungan budaya serta aspek lain di wilayah autonomi Xinjiang.

Siling tinggi ruang hadapan mihrab, Masjid Shanxi kelihatan rumit dengan bentuk segi empat dan oktagon yang bercirikan tradisional Cina.
Siling tinggi ruang hadapan mihrab, Masjid Shanxi kelihatan rumit dengan bentuk segi empat dan oktagon yang bercirikan tradisional Cina.

Di Masjid Shanxi, pengamal media melontarkan pelbagai soalan kepada Hassan terutamanya isu penindasan dan kebebasan beragama serta perobohan rumah ibadat orang Islam oleh pemerintah China seperti dilaporkan oleh media Barat.

“Tidak, tidak benar sama sekali. Kami masih diberikan kesempatan mendirikan solat lima waktu.

“Malah, solat Jumaat juga dibenarkan. Bukan sahaja solat, aktiviti lain seperti nikah dan memandikan jenazah juga boleh dilakukan di sini,” jelasnya.

Penulis merakam kenangan di hadapan pintu gerbang Masjid Shanxi.
Penulis merakam kenangan di hadapan pintu gerbang Masjid Shanxi.

Tambah Hassan, terdapat 60 hingga 70 jemaah bersembahyang di masjid tersebut untuk solat lima waktu dan jumlah berkenaan bertambah sehingga 450 orang setiap kali solat Jumaat.

Ditanya mengenai masa depan masjid tersebut sama ada ia dijadikan tarikan pelancongan seperti Masjid Idkah di kota purba Kashgar, Hassan menjawab: “Ini adalah masjid dan tujuannya dibina adalah untuk beribadah. Tapi, kami memberi sedikit kelonggaran dan cuba memberi kerjasama yang sebaiknya seperti program hari ini.”

SENI BINA CINA

Masjid Shanxi atau dikenali sebagai Masjid Dongda dalam kalangan masyarakat Islam Hui terletak di South Heping Road di Yining, Urumqi.

Ia dibina pada zaman pemerintahan Maharaja Qianlong dan Maharaja Jiaqing pada era Dinasti Qing (1644-1911). Kemudian, ia telah diubah suai dan dibesarkan pada tahun ke-32 pemerintahan Maharaja Guangxu (1906) dalam Dinasti Qing.

Berbanding dengan masjid-masjid lain di Urumqi, bangunan purba ini agak tersembunyi di tengah-tengah 'hutan konkrit' malah Masjid Shanxi tidak mempunyai kubah.

Bagi pertama kali yang melihatnya, Masjid Shanxi umpama sebuah istana lama Cina, ia benar-benar mengejutkan namun pada masa sama mengagumkan!

Ruang utama solat di Masjid Shanxi dibina menggunakan struktur bata dan kayu menghadap ke timur dengan 10 meter (m) tinggi dengan keluasan 250 meter persegi.

Sebaik melangkah masuk, penulis menikmati gaya seni bina tradisional yang ringkas dengan gabungan kaligrafi ayat suci al-Quran.

Pada tahun 1962, Masjid Shanxi disenaraikan sebagai peninggalan sejarah peringkat provinsi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!