Mangsa lemas ditarik ombak, operasi mencari diteruskan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MANJUNG - Operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Senangin diteruskan pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pencarian disambung pada jam 8.30 pagi membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Pasukan Gerakan Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, maklumat awal mendapati, semasa kejadian, mangsa berusia 19 tahun itu sedang mandi di pantai bersama enam orang sepupunya sebelum tiba-tiba ditarik ombak.

"Mangsa gagal diselamatkan. Sehingga kini, operasi mencari dan mengesan mangsa masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi terutama melibatkan pantai diingatkan sentiasa memastikan keselamatan diri dan keluarga.

"Paling penting memakai jaket keselamatan agar tidak berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Operasi yang dijalankan pada Ahad turut melibatkan pemantauan menggunakan drone di kawasan persisiran pantai, namun gagal mendapatkan sebarang petunjuk.

Nelayan tempatan turut membantu melakukan pemasangan pukat di sepanjang 100 meter bagi memudahkan pencarian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!