Nahas van persiaran: Tiga mangsa dibenarkan keluar hospital
BALIK PULAU - Tiga mangsa warga Singapura yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van persiaran di Jalan Bukit Genting, Teluk Kumbar malam Ahad sudah dibenarkan keluar daripada Hospital Balik Pulau, di sini.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa itu dibenarkan keluar pada malam Ahad selepas diberi rawatan.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, empat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas kemalangan manakala tiga lagi dipindahkan ke hospital swasta.
"Hanya mangsa yang meninggal sahaja berada di Hospital Balik Pulau manakala tiga mangsa sudah dibenarkan keluar.
"Empat lagi memang tidak dibawa ke sini sejak semalam, mereka dibawa terus ke HPP untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Balik Pulau di sini pada Isnin.
Hon Wai berkata, beliau sudah menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai bentuk bantuan yang diperlukan.
"Saya difahamkan mereka datang ke sini melalui ejen pelancongan. Kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan.
"Saya akan menghubungi ejen pelancongan yang menguruskan kumpulan ini untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa serta maklumat lain untuk urusan berkaitan," katanya.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, pihaknya telah mengarahkan pengurusan HPP dan Hospital Balik Pulau supaya memudahkan urusan dan membantu mangsa yang terlibat dalam nahas terbabit.
"Perkara utama pada masa ini adalah untuk membantu mereka dalam pemulihan daripada kemalangan tersebut, doa kami ditujukan kepada mangsa serta keluarga dan rakan mereka.
"Orang ramai turut digesa supaya tidak menyebarkan gambar lokasi kemalangan sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang terlibat," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal mengesahkan kematian mangsa yang merupakan seorang wanita Singapura.
Katanya, identiti mangsa belum diperoleh berikutan tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa.
"Tak ada lagi (maklumat mangsa). Tak ada dokumen diri pada si mati.
"Punca kejadian belum diperoleh lagi, hanya akuan lisan sahaja," katanya.
Dalam kejadian malam Ahad, seorang pelancong wanita warga Singapura maut selepas van persiaran yang dinaiki bersama sembilan rakan senegaranya terjatuh dari Bukit Genting di sini pada jam 8.14 malam Ahad.
Mangsa yang berusia lingkungan 60an disahkan maut di lokasi kejadian kerana dipercayai cedera parah.
Menurut bomba, kesemua mangsa berjumlah 11 orang termasuk pemandu warga tempatan. Penumpang terdiri daripada warga Singapura iaitu tujuh wanita dan tiga lelaki.
Difahamkan, kesemua mangsa melalui laluan sempit itu untuk menikmati makan malam di sebuah restoran makanan Thailand yang terletak di puncak bukit terbabit.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, van tersebut telah terbabas lalu terjatuh dari laluan berbukit berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!