Dua kanak-kanak perlukan RM150,000 jalani pembedahan segera

Sui Hui bersama dua kanak-kanak yang memerlukan dana bagi melakukan pembedahan disebabkan masalah jantung yang dihadapi mereka.
Sui Hui bersama dua kanak-kanak yang memerlukan dana bagi melakukan pembedahan disebabkan masalah jantung yang dihadapi mereka.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - One Hope Charity & Welfare Berhad (One Hope) sedang mengumpulkan dana sebanyak RM150,000 bagi membantu dua kanak-kanak yang perlu melakukan pembedahan segera demi menyelamatkan nyawa mereka.

Pengerusinya, Chua Sui Hui berkata, dua kanak-kanak terbabit disahkan menghadapi masalah jantung sejak kecil dan telah melakukan beberapa pembedahan sebelum ini.

Menurutnya, Muhammad Nufail Naufal Muhammad Fairus, 3, memerlukan RM70,000 bagi menampung kos pembedahan selepas menghadapi masalah pada injap jantungnya.

"Dia (Muhammad Nufail) sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Serdang untuk melakukan pembedahan namun ia tidak dapat dilakukan kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

"Namun dengan keadaan kesihatannya yang semakin merosot dan walaupun usianya telah masuk tiga tahun namun beratnya hanya 11.8 kilogram, doktor menasihatkan agar kanak-kanak ini segera menjalankan pembedahan jantungnya," katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama, kedua ibu bapa bayi berkenaan Muhamad Firdaus Abdul Wahab, 28, dan isteri Norazila Awang Kechik, 26.

Muhamad Firdaus berkata, dia yang hanya bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang manakala isterinya hanya seorang suri rumah tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi menampung kos pembedahan.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak yang memerlukan ihsan dan perhatian orang ramai ialah Teoh Chin Chau,10, yang turut mengalami masalah jantung berlubang dan kecacatan arteri.

Artikel Berkaitan:

Sui Hui berkata, ketika berusia enam bulan, doktor telah melakukan pembedahan pada Chin Chau untuk membetulkan saliran darah ke paru-paru dan pada usia tiga tahun, satu lagi pembedahan telah dilakukan untuk memasukkan arteri palsu pada badan kanak-kanak berkenaan.

Katanya, dugaan terus menimpa kanak-kanak terbabit apabila dia disahkan pekak dan bisu tidak lama kemudian.

"Kebelakangan ini, Chin Chau kerap mengalami demam dan pemeriksaan yang dibuat pada Februari lalu mendapati terdapat jangkitan kuman pada jantung kanak-kanak terbabit yang menyebabkan dia selalu jatuh sakit dan kelihatan lemah.

"Doktor menasihatkan bapa kanak-kanak ini supaya melakukan pembedahan segera namun kos yang diperlukan terlalu tinggi sehingga RM80,000 membuatkan keluarga itu buntu," katanya.

Sui Hui berkata, bapa kanak-kanak terbabit, Teoh Lai Soon, 50, hanya bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin dan memperoleh pendapatan sekitar RM2,500 sebulan.

Katanya, dia berharap orang ramai dapat bersama dengan One Hope bagi membantu mengumpul dana untuk kedua-dua kanak-kanak berkenaan agar pembedahan mereka dapat dilakukan dengan segera dan seterusnya kembali sihat seperti kanak-kanak lain.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikan melalui akaun One Hope Charity & Welfare Berhad di akaun Public Bank Berhad 3193433435.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!