Rangka segera dasar baharu pengurusan lembangan sungai - Sultan Nazrin
KUALA LUMPUR - Bagi menangani isu berkaitan kelestarian sungai-sungai, dasar dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan mengambil kira segala kelemahan dalam aspek pengurusan lembangan sungai perlu dirangka segera, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah selain meneladani negara-negara yang memperlihatkan kejayaan melestarikan sungai secara tuntas, kerangka baharu yang segar, teratur dan lebih berdaya maju diperlukan memandangkan ramai anggota masyarakat masih belum peka dan cakna walaupun pelbagai dasar dan program telah diusahakan.
"Pelestarian sungai bermaksud kerangka membaik pulih dan menambah baik kualiti air sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan. Pelestarian sungai adalah tanggungjawab semua pihak, bukan tanggungjawab yang terbatas atau khusus kepada sesebuah agensi atau badan bukan kerajaan (NGO).
"Tanggungjawab melestarikan sungai perlu diserlahkan dalam bentuk amalan hidup yang mesra alam dan sikap proaktif untuk memberi sumbangan atau bersedia membayar kos yang diperlukan," titah baginda pada majlis pelancaran buku Tafsir Mawdu'i Sungai: Perspektif Islam Tentang Alam Sekitar di sini pada Isnin.
Sultan Nazrin bertitah pelestarian sungai adalah bersifat budaya dan geopolitik serta tidak mungkin berjaya ditangani dengan kerangka lama yang tegar (rigid) dan bersegmen.
Titah Sultan Nazrin, pendekatan yang lebih bersifat manusiawi perlu ditingkatkan dalam hasrat dan usaha meningkatkan kesedaran dan kesediaan masyarakat untuk melestarikan alam sekitar.
"Masyarakat perlu diinsafkan bahawa manusia dan alam sekitar saling berkait rapat. Jika bahasa melambangkan bangsa, tahap kesihatan ekosistem sungai menggambarkan 'hati' masyarakat setempat. Aliran sungai yang indah amat berkait rapat dengan aliran yang indah dalam hati manusia.
"Pendekatan 'hardware' iaitu sains dan teknologi, dan 'software' iaitu dasar, undang-undang dan norma tidak lengkap tanpa 'heart-ware' iaitu hati, roh atau manusiawi. Roh manusia perlu dibisikkan dengan kesedaran, menginsafkan hati agar terasa berdosa apabila melakukan perbuatan yang mencemarkan alam," titah baginda.
Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2021 terhadap 670 sungai yang dipantau di Malaysia merekodkan 73 peratus iaitu 489 sungai menunjukkan indeks kualiti air bertaraf bersih, 24 peratus (158 sungai) bertaraf sederhana cemar manakala tiga peratus (23 sungai) bertaraf tercemar.
Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Tafsir Mawdu'i Sungai, dihasilkan melalui integrasi ilmu oleh dua penulis dalam dua bidang berasingan; Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff dalam bidang pengajian Al-Quran dan As-Sunnah manakala Datuk Seri Dr Zaini Ujang dalam bidang pengajian alam sekitar.
Buku yang diterbitkan Akademi Jawi Malaysia itu dihasilkan melalui gabungan disiplin ilmu wahyu dengan disiplin pengurusan, disiplin sains dan teknologi berkaitan sungai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!