Kerajaan digesa pertimbang pinda Akta DBP 1959 - Ismail Sabri
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendirian Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu dipinda bagi memberikan lebih kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan Bahasa Melayu.
Menurutnya, usaha pindaan tersebut pernah dibuat dahulu sewaktu beliau menjadi pemimpin negara, namun tidak sempat melaksanakannya disebabkan pertukaran kerajaan.
“Saya mengakui peranan DBP dalam memperkasa dan menambah baik penggunaan ayat Bahasa Melayu seiring dengan perkembangan semasa. Bagaimanapun, kuasa DBP untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan bahasa dilihat terhad dan tidak meluas.
“Justeru, berharap kerajaan pada hari ini memberi perhatian kepada usaha yang telah dilakukan agar Bahasa Melayu dapat diperkasakan dan digunakan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) di Hotel Le Quadri pada Isnin.
Mengulas mengenai SAABM, Ismail Sabri berkata, ia merupakan kesinambungan daripada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Beliau berkata, acara berkenaan adalah sebahagian daripada perjuangan beliau untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu khususnya di peringkat global.
“Saya melihat SAABM adalah platform terbaik bagi menyemai semangat kecintaan kepada bahasa, budaya dan ketamadunan Melayu seterusnya menyemarakkan semangat perjuangan Bahasa Melayu kepada setiap Keluarga Malaysia.
“Saya difahamkan simposium kali ini dapat menarik penglibatan beberapa tokoh pejuang Bahasa Melayu dari Malaysia, negara-negara ASEAN dan antarabangsa,” ujarnya.
Jelas beliau, ia membuktikan penggunaan Bahasa Melayu sudah melangkaui ruang lingkup Nusantara sehinga di Korea Selatan juga telah menggunakan Bahasa Melayu sebagai rujukan untuk pelancong asing.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut berkongsi hasrat beliau sewaktu mengadakan lawatan kerja ke Indonesia yang mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua bagi negara ASEAN.
Ujarnya, Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi sokongan terhadap usaha tersebut kerana bahasa berkenaan mempunyai lebih 300 juta penutur di rantau Asia Tenggara.
“Bahasa Melayu ini adalah bahasa yang unik dan menarik. Banyak negara sudah mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri.
“Saya sedar ada yang menentang cadangan tersebut, namun perlu kita faham bahawa bahasa kebiasaannya diubah mengikut kesesuaian kenegaraan kerana dialek-dialek berbeza tetapi akarnya tetap sama iaitu Bahasa Melayu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!