Bomba, PBT buat persiapan hadapi banjir
IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat persiapan rapi menghadapi banjir menjelang hujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, satu taklimat khas akan diberikan JBPM berhubung tahap kesiap siagaan pasukan itu berdepan situasi bencana minggu depan.
"Minggu depan saya akan berjumpa dengan Ketua Pengarah Bomba untuk memberikan laporan tentang persiapan mereka menghadapi musim tengkujuh.
"Sebenarnya dalam isu banjir ini, kerajaan memang sentiasa bersiap siaga," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.
Beliau berkata, kementerian turut bekerjasama rapat dengan PBT dalam melakukan penyelenggaraan dan beberapa kerja naik taraf saliran air bagi mengurangkan kesan akibat banjir.
Katanya, di Perak sahaja, kementerian telah meluluskan peruntukan hampir RM70 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur asas termasuklah longkang dan jalan.
"Ini sangat penting kerana jika semua longkang tidak tersumbat, semua bersih, maka kuranglah risiko banjir berlaku," katanya.
Sejak minggu lalu, tiga negeri iaitu Perak, Sabah dan Sarawak telah dilanda banjir melibatkan ratusan mangsa terpaksa dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!