UMNO jangan ambil mudah PRK DUN Pelangai

Noor Azleen dan Muhd Rosdi (tengah) bersama penerima selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan PTPTN di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang pada Isnin.
Noor Azleen dan Muhd Rosdi (tengah) bersama penerima selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan PTPTN di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - UMNO tidak seharusnya mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini walaupun menang dengan agak selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ini kerana DUN Pelangai masih termasuk dalam kawasan kubu kuat Perikatan Nasional (PN) di pantai timur.

"PN mungkin ada kelebihan di sana. Kita perlu menghentikan gelombang hijau seperti yang berlaku (berjaya menghentikan gelombang hijau) di PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram baru-baru ini.

"Namun saya pasti pengundi di Pahang khususnya di DUN Pelangai bijak memilih pihak mana yang mampu mewakili mereka untuk menjadi wakil rakyat.

"Jangan terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang cuba dibawa pemimpin yang datang dari seluruh negara (ke Pelangai). Mereka bukan bertujuan untuk berkhidmat tetapi hanya mahu memainkan isu-isu semasa sebagai contoh kononnya negara ini sudah dikuasai DAP," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menentang Kasim Samat (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Artikel Berkaitan:

PRK tersebut diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, pengundi perlu menilai kepimpinan BN di Pahang yang terbukti berkesan dan membawa banyak pembangunan diterajui Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain itu katanya, jentera Pemuda UMNO Johor dari 26 bahagian di seluruh negeri akan membantu berkempen di PRK Pelangai lebih-lebih lagi parti yang bertanding pada kali ini adalah calon UMNO tidak seperti PRK Pulai dang Simpang Jeram.

"Kita akan 'all out' (bersungguh-sungguh) kali ini. Kita ada 500 sehingga 600 jentera Pemuda UMNO Johor yang akan ditempatkan di PDM (pusat daerah mengundi) angkat kita nanti. Tak boleh biarkan gelombang hijau merobek kubu kuat kita di Bentong.

"Di DUN Pelangai ada kira-kira 16,000 pengundi dengan 90 peratusnya adalah Melayu dan separuhnya berada di Felda," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!