Peruntukan RM308 juta bina tiga PPR baharu di Perak
IPOH - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM308 juta bagi pembinaan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Perak.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek pembinaan di Tambun, Lenggong dan Teluk Intan itu melibatkan 1,200 unit PPR yang akan memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah.
Menurutnya, setiap pembinaannya meliputi rumah bertingkat dan teres itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti lif, surau, tadika, taska, dewan atau balai komuniti, bangunan utiliti dan landskap.
"PPR Lengong telah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dilaksana secepat mungkin. Permohonan ini sedang dalam pertimbangan Notis Perubahan (NOC) oleh Kementerian Ekonomi.
"Sementara dua lagi PPR iaitu Tambun dan Teluk Intan sedang dalam pertimbangan dan kelulusan Kementerian Ekonomi," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu memperincikan, PPR Lenggong akan dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan di atas tapak yang diberikan oleh kerajaan negeri melibatkan 300 unit rumah teres dengan kos RM72 juta.
Katanya, 500 unit rumah bertingkat dirancang dibangunkan di DUN Manjoi (Tambun) dengan anggaran kos RM140 juta manakala 400 unit rumah teres di Changkat Jong (Teluk Intan) melibatkan peruntukan RM96 juta.
"Pembangunan projek PPR ini dapat membantu menjayakan sasaran kerajaan menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK12," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!