Lelaki maut ditembak: Penduduk dengar bunyi letupan
MACHANG - Seorang bekas pensyarah mendengar bunyi letupan beberapa kali sebelum menyedari kejadian seorang lelaki ditembak di hadapan rumahnya di Tok Bok dekat sini pada Isnin.
Warga emas lelaki berusia 74 tahun itu berkata, ketika kejadian dia baru bangun daripada tidur untuk persediaan menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan pada jam 4 pagi.
Menurutnya, dia tidak mengendahkan bunyi letupan yang didengari itu kerana menyangkakan tidak ada sesuatu perkara serius berlaku.
“Waktu itu, saya hendak ke tandas dan mendengar bunyi letupan sekitar tiga kali.
“Selepas siap dan keluar rumah untuk ke masjid bersama isteri, saya nampak ramai polis berada di hadapan pagar dan sebuah kereta yang remuk di tepi jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Isnin.
Tambahnya, melihat keadaan itu, dia menganggap berlaku kemalangan dan bertanyakan kepada pihak polis.
“Saya tanya adakah berlaku kemalangan, tetapi mereka tidak mengulas lanjut.
“Saya cuma lihat ada seorang lelaki yang duduk berhampiran pokok di tepi pagar rumah (dipercayai salah seorang suspek),” katanya.
Sebelum itu, seorang lelaki berusia 20-an maut dipercayai ditembak selepas dikatakan menyerang pihak polis dengan senjata tajam.
Seorang lagi rakan suspek yang berusia 30-an pula berjaya ditahan.
Menurut sumber, kedua-dua mereka sebelum itu dipercayai sedang mencuri lembu di Kampung Joh dan bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta selepas terkejut dengan kehadiran polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!