Syarikat penerbitan diarah pulang semula deposit program usahawan
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Sebuah syarikat penerbitan diarahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Melaka untuk memulangkan semula wang deposit program usahawan ke Dubai berjumlah RM2,500 kepada seorang guru di negeri ini.
Presiden Mahkamah TTPM, Abdul Rashid Daud memerintahkan syarikat terbabit mematuhi award tribunal dengan melunaskan keseluruhan bayaran tersebut sebelum 12 November depan.
Keengganan dan kegagalan pihak penentang mematuhi perintah itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 117 Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Penuntut yang merupakan seorang guru sekolah sukan, Zanahariah Jaafar, 55, bersyukur penantian untuk mendapatkan wang simpanannya semula berjaya selepas beberapa bulan mencari penentang kerana alamatnya yang gagal diperolehi.
"Selepas ke sana ke sini mencari dia, akhirnya berjaya menyerahkan surat tribunal kepada penentang yang mengajar di sebuah sekolah di Selangor.
"Saya berharap orang ramai lebih berhati-hati dan menjadi kes saya sebagai pengajaran kerana tidak kira apa jua latar belakang seseorang, selidik dahulu sebelum percaya," katanya ketika ditemui di TTPM Melaka di MITC, Ayer Keroh di sini pada Isnin
Bercerita lanjut Zanahariah berkata, dia tertarik menyertai program keusahawanan ke Dubai yang dianjurkan pihak penentang pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, disebabkan kerana mahu menceburi bidang perniagaan selepas bersara lagi beberapa tahun, dia kemudian membuat bayaran deposit secara ansuran RM2,500 daripada jumlah keseluruhan bayaran iaitu RM4,500.
"Namun selepas berasa curiga dengan program tersebut kerana ada mangsa yang telah ditipu saya menarik diri pada Mei lalu.
"Jadi perjanjiannya kalau menarik diri sebelum Jun wang yang dibayar akan dikembalikan, dan kerana itu saya membuat tuntutan. Sebagai pengguna saya ada hak," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!