Tiada keperluan tubuh Kerajaan Perpaduan - Pemuda UMNO Johor
PASIR GUDANG - Isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor tidak perlu dibangkitkan ketika ini sebaliknya tumpuan harus diberi terhadap masalah rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi dan ketiadaan bekalan bahan makanan.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ini termasuk cadangan membentuk Sekretariat Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri kerana tiada keperluan berbuat demikian dan cukup dengan hanya penubuhannya di peringkat Pusat.
"Saya tidak rasa itu yang rakyat mahukan. Rakyat hari ini mengharapkan pemimpin dan orang politik fikir tentang mereka, soal bekalan makanan dan keperluan asas yang tak cukup, soal beras dan bekalannya serta soal bagaimana kerajaan nak uruskan secara efektif kos sara hidup.
"Jadi orang pilitik saya minta cukup-cukuplah kita bincang pasal tubuh jawatankuasa sekretariat yang hanya untuk tertumpu untuk soal kita agih-agihan kuasa. Apa yang paling mustahak hari ini rakyat nak dengar dan nak tahu apa orang politik nak buat.
"Terutamanya soal penyelesaian isu kos sara hidup yang tinggi, tekanan ekonomi dan bekalan beras. Soal Kerajaan Peraduan ini hanya untuk menguntungkan kelompok elit politik yang sedang berkuasa," katanya.
Beliau yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia di sini pada Isnin.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail.
Pada Sabtu, Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, sudah sampai masanya Johor menimbang menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dalam usaha mengukuh hubungan antara Pakatan Harapan (PN) dan BN selain juga mewujudkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan peringkat negeri.
Menurutnya yang Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, ketika ini wakil-wakil daripada PH sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masih tiada dalam kerajaan negeri sebagai Exco.
Sementara pada Ahad, Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, hubungan BN dan PH yang kukuh Johor diyakini akan diterjemahkan dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan wakil-wakil daripada PH perlu dilantik menjadi Exco.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, sekiranya matlamat penubuhan Kerajaan Perpaduan bagi mengukuh persefahaman antara BN dan PH, perkara itu sudah dilakukan ketika ini termasuk semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram baru-baru ini.
"Malah persefahaman itu sudah diterjemahkan apabila kita menang dalam dua PRK tersebut. Kita boleh perkukuh kerjasama dengan titik persamaan yang ada tanpa perlu wujdukan Sekretariat Kerajaan Perpaduan peringkat negeri. Jangan terbelenggu dengan soal itu sangat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, seramai 3,876 penuntut dari negeri ini ditawarkan WPP bagi kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) awam pada Oktober ini di seluruh negeri dengan peruntukan RM5.81 juta.
Tambah Noor Azleen, bagi kawasan Pasir Gudang sahaja, PTPTN menawarkan WPP kepada 362 penuntut melibatkan peruntukan RM543,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!