Sanggup cuti tanpa gaji jaga ibu terlantar
PETALING JAYA - Demi kasih terhadap ibu, seorang anak tunggal sanggup mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ibunya yang terlantar mengidap penyakit kronik kanser hati tahap empat.
Anak tunggal terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sofiah mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu menjaga ‘syurganya’ yang kini terlantar sakit selepas menjalani pembedahan Ogos lalu.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan ibunya dibantu LZS dengan bantuan berkala, keperluan perubatan bulanan sebanyak RM550 sejak Julai dan kos pembedahan sebanyak RM6,000 bagi kategori Asnaf Gharimin pada tahun ini.
"Puan Sofiah bekerja di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan anggaran RM3,000 lebih sebulan, namun membuat keputusan drastik (cuti tanpa gaji) kerana memikirkan ibunya terlantar dan tidak dapat menguruskan diri.
"Beliau juga berstatus ibu tunggal sejak 2019 serta menanggung seorang anak yang berumur enam tahun, kini hanya bergantung sumber perbelanjaan daripada sumber sumbangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta bekas suami sebanyak RM400 sebulan," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
Sebelum itu, kakitangan Operasi Agihan LZS di daerah Petaling bersama pihak Masjid Darul Ehsan Subang Jaya turun padang menziarahi keluarga berkenaan dan mereka didapati layak didaftarkan bagi kategori asnaf miskin.
"Insya-ALLAH, (bantuan) akan ditambah dengan bantuan kewangan bulanan bagi meringankan bebanan. Dalam sesi tersebut juga disalurkan sumbangan bantuan kecemasan berupaya wang tunai daripada LZS dan pihak masjid," tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!