'Kalau tak puas hati, bukan tendang pengadil' - FAM

FAM akan mengambil tindakan ke atas Yazan yang menendang pengadil.
FAM akan mengambil tindakan ke atas Yazan yang menendang pengadil.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia memandang serius insiden membabitkan pemain pertahanan Selangor FC Yazan Al-Arab yang menendang pengadil perlawanan ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, Yazan tidak akan terlepas daripada hukuman yang akan dikenakan oleh Lembaga Tatatertib FAM.

“Kita sudah menghantar laporan berkaitan insiden itu kepada Lembaga Tatatertib FAM dan apa yang boleh saya katakan memang ada kekasaran kepada pengadil.

“Saya tidak boleh pastikan hukuman akan dikenakan kepada Yazan cuma daripada apa yang kita lihat memang dia tidak akan terlepas begitu saja.

“Jika tidak berpuas hati dengan pengadil bukannya melakukan perbuatan itu, gunakan saluran betul iaitu buat laporan kepada FAM,” katanya.

Insiden Yazan menendang pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir itu berlaku selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Selangor tewas kepada Terengganu FC dengan agregat 3-1 dan gagal mara ke perlawanan separuh akhir.

Video Yazan menendang pengadil itu juga tular di media sosial yang menyaksikan pemain import dari Jordan itu terlebih dahulu berkata sesuatu dan menolak Mohd Hasrol sekali gus dia dilayangkan kad merah.

Bagaikan tidak berpuas hati, Yazan dilihat menendang Mohd Hasrol sebelum dia ditenangkan oleh rakan sepasukan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!