Banjir kilat melanda Teluk Kumbar, Batu Maung

A
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Masjid di Teluk Kumbar di sini tidak senang duduk berikutan kawasan itu sering kali dilanda banjir kilat.

Kejadian banjir kilat itu didakwa lebih kerap berlaku ketika peralihan monsun yang berlaku antara bulan September hingga Oktober setiap tahun.

Menurut salah seorang penduduk, Azizah Rejab, 62, dia sudah terbiasa dengan kejadian banjir kilat setiap kali hujan lebat menyebabkan dia dan keluarganya membina tembok di tepi rumahnya sebagai penghadang air banjir.

*media[2359557]**

Dia yang tinggal di kampung berkenaan lebih 30 tahun itu berkata, hujan lebat sejak jam 6.30 sehingga 10 pagi Isnin menyebabkan kediamannya dan beberapa buah rumah lagi dinaiki air setinggi paras betis orang dewasa.

"Saya dan penduduk kampung di sini sudah lali dengan banjr kilat yang melanda di sini. Setiap kali hujan lebat, kami tak lena dah. Risau air naik sebab sebelum ini, air pernah naik sehingga paras pinggang orang dewasa.

"Kejadian itu dalam lima tahun lalu, saya hanya duduk di atas katil menunggu bantuan daripada pasukan keselamatan. Sebab itu saya agak trauma setiap kali banjir kilat," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Isnin.

Azizah yang tinggal bersama anak dan cucunya berkata, dia sudah lama tidak membeli perabot baharu kerana ia akan rosak setiap kali banjir melanda.

"Air dari Sungai Kampung Masjid akan penuh jika hujan lebat tanpa henti lebih daripada dua jam. Ia akan melimpah menyebabkan banjir berlaku di sini. Lebih memburukkan keadaan, jika air laut pasang.

Artikel Berkaitan:

"Air sungai campur dengan air laut, itu yang menyebabkan banjir. Disebabkan kerap sangat banjir, saya dah malas nk beli perabot baru, beli pun (perabot) terpakai.

"Macam hari ini, kawasan dapur rumah saya masih digenangi air banjir walaupun hujan telah reda, saya perlu pam pula air keluar di kawasan dapur," katanya.

Abu Hassan mengayuh basikalnya meredah banjir untuk membeli makanan di kedai berhampiran.
Abu Hassan mengayuh basikalnya meredah banjir untuk membeli makanan di kedai berhampiran.

Sementara itu, Abu Hassan Ariffin, 73 berkata, dia sudah 'mangli' dengan kejadian banjir kilat yang dihadapinya sejak 40 tahun yang lalu.

"Lima tahun lalu, itu kejadian paling teruk saya rasa, air naik paras pinggang sehingga terpaksa tinggal di pusat pemindahan banjir. Kali ini, air hanya naik sehingga di kawasan tandas rumah sahaja.

"Tetapi jika hujan tidak berhenti, kemungkinan air boleh naik lagi. Apa yang merungsingkan kami di sini, air lambat surut. Kalau banjir pagi, tengah malam baru surut.

"Setiap kali hujan, saya memang tidak akan tidur. Trauma lima tahun dahulu belum habis, tambahan pula dua cucu tinggal bersama saya. Saya bimbang keselamatan mereka," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di kampung yang mempunyai 27 buah rumah itu mendapati, sehingga jam 12 tengah hari Isnin, kawasan tersebut masih digenangi air.

Turut dilanda banjir kilat adalah di beberapa kawasan di Batu Maung.

Penduduk Kampung Masjid meredah banjir kilat yang melanda kampung itu sejak jam 6.30 pagi.
Penduduk Kampung Masjid meredah banjir kilat yang melanda kampung itu sejak jam 6.30 pagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, kira-kira 20 buah rumah di Kampung Masjid, Kampung Matahari Naik dan Kampung Paya terlibat dengan banjir kilat pada Isnin.

Azrul berkata, pihaknya sudah memohon kepada pihak berkuasa agar projek naik taraf titi di Kampung Masjid disegerakan bagi membolehkan lebihan air ketika hujan lebat disalur keluar dengan segera.

Tambahnya, setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka di kawasan Bayan Lepas.

Dalam kejadian berlainan, seramai 40 kanak-kanak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Darul Ulum di Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar diselamatkan selepas terperangkap dalam banjir kilat hari ini.

Kanak-kanak dari Pasti Daruk Ulum dibawa keluar dari pusat asuhan berkenaan menggunakan kenderaan orang awam.
Kanak-kanak dari Pasti Daruk Ulum dibawa keluar dari pusat asuhan berkenaan menggunakan kenderaan orang awam.

Kesemua mereka iaitu 25 kanak-kanak lelaki dan 15 perempuan berusia empat hingga enam tahun dibawa keluar dari pusat asuhan berkenaan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik orang awam.

Difahamkan, pusat asuhan tersebut dinaiki air sedalam 0.65 meter menyebabkan kanak-kanak dan guru di situ panik.