MOTAC kaji semua akta pengusaha penginapan, inap desa
JOHOR BAHRU - Akta Industri Pelancongan bagi mensyaratkan pengusaha penginapan termasuk inap desa atau homestay berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan dikaji semula.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kajian tersebut perlu dilaksanakan segera bagi kebaikan industri pelancongan negara.
"Kita akan berbincang di peringkat kementerian terlebih dahulu membabitkan bahagian yang mengawal selia perkara itu.
"Kementerian akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dan memastikan semua pelanggan inap desa mendapat perlindungan insurans, ini bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Ahad malam.
Sebelum itu, tular dakwaan yang didedahkan di sebuah platform media sosial Xiaohongshu yang berpangkalan di Shanghai pada 14 September lalu berhubung sebuah inap desa yang didiaminya di Sabah telah dipasang dengan kamera tersembunyi.
King Sing dilaporkan berkata telah meminta kerajaan Sabah, MOTAC Sabah dan agensi berkaitan mengambil tindakan serius dan sewajarnya terhadap dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, King Sing memberitahu, kementerian hanya boleh mengambil tindakan sekiranya inap desa tersebut berdaftar dengan MOTAC.
"Sebelum ini, kita telah menerima aduan dan mengesan beberapa kes seperti ini.Oleh itu kita perlu percepatkan untuk tambah baik akta ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!