Anggota bomba cederakan ibu saudara dipenjara tiga bulan
KUALA LUMPUR - Seorang anggota bomba dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah mencederakan ibu saudaranya, dua tahun lepas.
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Putera Azirul Abdul Aziz, 32, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Aini Ahmad, 58, di kuarters Balai Bomba Taman Melati, Wangsa Maju di sini pada 4 petang, 27 Disember 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee memohon hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam.
Putera Azirul yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga dan mempunyai 14 orang anak termasuk 10 anak tiri.
"Saya bertindak sedemikian (cederakan ibu saudara) kerana keluarga mentua ingin membawa balik isteri saya ke kampung tanpa kebenaran saya dan saya memohon hukuman ringan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!