Pernah terlantar sakit di Madinah, Hasmah akhirnya meninggal dunia di HSNZ

Hasmah Hamid (tengah) selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus pada jam 5.30 petang
Hasmah Hamid (tengah) selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus pada jam 5.30 petang
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas, Hasmah Hamid, 62 yang sebelum ini terlantar sakit selama 71 hari di sebuah hospital swasta di Madinah meninggal dunia awal pagi tadi.

Menantu Allahyarhamah, Megat Khairul Amiri Megat Ismara, 33 berkata, ibu mentuanya meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini jam 1.05 pagi selepas dimasukkan hospital akibat mengalami kesesakan nafas sejak Sabtu lepas.

"Arwah ibu mentua saya mengalami kesesakan nafas pada malam Sabtu dan ditahan wad sehingga semalam untuk menerima rawatan lanjut.

"Doktor juga maklumkan ibu mentua saya mengalami masalah jantung. Pada tengah malam tadi, arwah ibu memberitahu nak tidur dan kemudian dia pergi (meninggal) dalam keadaan tenang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Megat Khairul Amiri berkata, ibu mentuanya seorang yang penyayang dan peramah selain mempunyai hubungan baik dengan jiran serta komuniti setempat lain.

Dia memaklumkan jenazah ibu mentuanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lebai Jenai, Chendering, dekat sini pada jam 11 pagi tadi.

Pada 10 Julai lalu, tiga beradik merayu sumbangan untuk membawa pulang ibu mereka yang ketika itu terlantar sakit di sebuah hospital swasta di Madinah selepas menerima rawatan.

Hasmah sepatutnya pulang ke rumah mereka di Chendering di sini pada 12 Mei lalu selepas selesai menunaikan ibadah umrah yang disertai pada 30 April.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun wanita itu yang pergi ke Tanah Suci bersama sebuah syarikat pakej umrah jatuh sakit pada 9 Mei di Madinah dan dimasukkan ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

Pada 20 Julai lepas, Hasmah selamat pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus pada jam 5.30 petang.

Kepulangan ibu tunggal itu disambut dengan tangisan kegembiraan anak-anaknya bersama 50 ahli keluarga lain yang menantikan kepulangan wanita tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!