Mahkamah kekalkan pengharaman buku 'Gay is Okay!'
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk mengembalikan semula perintah mengharamkan buku "Gay is Okay! A Christian Perspective”.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk M Gunalan dan Datuk Wong Kian Kheong, dalam keputusan majoriti, membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut memerintahkan penerbit Chong Ton Sin dan penulis Ngeo Boon Lin membayar kos RM15,000 kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Pada 22 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh kedua-dua mereka bagi membatalkan perintah yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku tersebut.
Hakim Azizah dan Kian Kheong dalam keputusan majoriti memihak kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia manakala hakim Gunalan sebaliknya.
Dalam keputusan majoriti, Kian Kheong berkata, beliau dan Azizah telah meneliti kandungan buku serta tajuknya dan berdasarkan penilaian objektif, mereka berpuas hati bahawa keseluruhan kandungan buku itu dan tajuknya memberi mesej umum bahawa gaya hidup homoseksual adalah tidak dilarang oleh agama Kristian.
Beliau berkata, hakim yang memutuskan keputusan majoriti berpuas hati bahawa menteri yang munasabah akan mencapai keputusan kemungkinan buku itu menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.
Walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam tempoh lebih tujuh tahun dari September 2013, tarikh penerbitan buku itu, sehingga warta larangan itu, ini tidak menafikan wujudnya kemungkinan menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam, katanya.
Hakim itu berkata, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, adalah tidak perlu memberi penerbit dan pengarang buku hak untuk didengari.
Beliau juga berkata, Seksyen 7 Akta itu juga tidak memerlukan Menteri Dalam Negeri memberi alasan larangan itu, sambil menambah bahawa dalam apa jua keadaan, Menteri Dalam Negeri telah memberikan alasan dalam warta untuk mengharamkan buku itu.
Dalam keputusannya yang bertentangan, Gunalan berkata, hakim Mahkamah Tinggi tidak tersilap apabila membenarkan semakan kehakiman responden.
Beliau berkata, hakim telah memberikan pertimbangan yang secukupnya kepada fakta dan keadaan secara keseluruhan serta telah menggunakan prinsip undang-undang dengan betul sebelum membuat keputusan untuk membenarkan semakan kehakiman.
Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan satu perintah larangan terhadap buku itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang berkuat kuasa pada 27 November tahun sama.
Pada 17 Feb 2021, Ton Sin dan Boon Lin memfailkan semakan kehakiman yang mendakwa perintah pengharaman itu adalah tidak rasional serta tidak seimbang kerana tidak berlaku insiden tidak diingini yang dicetuskan oleh buku tersebut sejak ia diterbitkan lebih tujuh tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan memohon untuk mengembalikan larangan itu yang telah ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Februari 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!