Maqis rampas durian tiada permit import dari Brunei

Durian yang dirampas tidak memiliki permit yang sah untuk masuk ke Labuan.
Durian yang dirampas tidak memiliki permit yang sah untuk masuk ke Labuan.
A
A
A

LABUAN - Tindakan seorang penumpang feri membawa 20 biji durian tanpa permit mengundang padah apabila buah tersebut dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Labuan di pintu masuk Terminal Feri Ro-Ro, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, penumpang wanita berusia 40-an terbabit difahamkan membawa durian itu untuk tujuan komersial.

Pengarah Maqis Labuan, Nazrul Azman Mat Rahim berkata, durian itu dibawa dari negara Brunei tanpa permit import yang sah.

"Hasil pemeriksaan pihak Maqis merampas sebanyak 20 biji durian yang cuba di bawa masuk oleh penumpang dari Brunei.

"Pelanggaran undang-undang adalah di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) di mana menjadi suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, " katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nazrul Azman berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang masuk ke negara ini.

"Hal ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!