Saifuddin dakwa kegiatan curi REE masih berlaku di Kedah
ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada polis Kedah atas kejayaan tangkapan membabitkan kegiatan penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, pada 14 September lalu.
Menurutnya, tangkapan tersebut mengesahkan bahawa perbuatan mencuri bahan tersebut masih berlaku di Kedah.
"Syabas polis Kedah! Tangkapan bulan Jun masih dalam proses dilengkapkan siasatan. Belum terhenti. Tangkapan terbaharu mengesahkan kecurian masih berlaku.
"Pencuri tertangkap dan didakwa dan disabit kesalahan oleh mahkamah. Ada yang masih tunggu (bagi proses pendakwaan). Wujud elemen jenayah pemerdagangan orang dan jenayah terancang. Polis terus menyiasat," katanya menerusi satu kenyataan di laman sosialnya.
Jelasnya, wujud persoalan terdapat juga kemungkinan pembabitan pihak berkuasa di peringkat negeri, biarpun dinafikan kerajaan negeri Kedah sebelum ini.
"Masih ada senarai yang dicari polis, tapi menghilangkan diri. Wujud pembabitan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya? Sabar.
"Yang memilih untuk 'denial syndrome' saya tak upaya nak buat apa. Beza pendapat saya raikan. Maki hamun dan gelar keburukan, saya keluarkan," ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan sembilan individu didakwa di Mahkamah Sesyen Baling, atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi pada 14 September lalu, disyaki menjalankan kegiatan penerokaan REE.
Menurutnya, kumpulan tersebut termasuk lima warga asing itu dikesan melakukan kegiatan penerokaan di Kompartmen 35 hutan simpan itu, sejak empat bulan lalu.
Pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Ahad, Fisol berkata, aktiviti mereka dipercayai masih pada peringkat awal.
Walau bagaimanapun, semua sembilan individu termasuk seorang warga China dan empat warga Indonesia berusia antara 31 hingga 51 tahun tidak mengaku bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Baling bersama empat warga tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!