PDRM kutip saman RM300 juta
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyumbangkan kutipan saman berjumlah RM302.43 juta kepada perolehan negara bagi tempoh lapan bulan tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, jumlah tersebut meningkat hampir 136 peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM127.87 juta.
Beliau berkata, antara penyumbang kepada kutipan terbesar itu adalah pelaksanaan sistem pembayaran menggunakan aplikasi MyBayarSaman yang dilihat mesra pelanggan dan tidak perlu bersusah payah membayar di kaunter pelanggan PDRM.
"Pada tahun 2022 melalui sistem MyBayarSaman, JSPT berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM37.59 juta dengan 207,217 saman.
"Berbeza dengan tahun ini, JSPT merekodkan sebanyak RM169.28 juta dengan membabitkan 2,436,732 saman.
"Kita di JSPT bukan pengutip hutang tetapi lebih kepada mahu mendidik pengguna jalan raya dengan kesalahan yang telah mereka lakukan dan sedar dengan kesalahan tersebut," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Mat Kasim berkata, semakan mendapati pembayaran saman melalui aplikasi MyBayarSaman bagi tahun lepas melibatkan 1,338,956 pengguna.
Bagi tahun ini sehingga Ogos, kata beliau, JSPT merekodkan sebanyak 1,106,734 pengguna melunaskan bayaran menerusi aplikasi itu.
Tambah beliau, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 6.44 juta saman bagi 2022, manakala sebanyak 1,913,840 saman pada tahun ini sehingga Ogos.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mat Kasim memaklumkan bahawa kemalangan maut pada tahun ini melibatkan 4,366 orang.
"Dua per tiga daripada jumlah kemalangan itu disumbangkan oleh pengguna motosikal iaitu sebanyak 2,641 kematian.
"Kebanyakan mereka merupakan remaja berusia 14 tahun sehingga 35 tahun," ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya mengakui kebanyakan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal kerana penggunaan jentera itu menjimatkan dan semakin bertambah.
Selain itu, beliau berkata, penggunaan motosikal dalam kalangan remaja juga semakin bertambah.
Tambahnya, ada sebilangan pelajar menggunakan motosikal untuk ke sekolah tanpa memiliki lesen.
"Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam hal ini dengan memastikan anak-anak mereka miliki lesen kenderaan terdahulu sebelum dibenarkan menunggang motosikal," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!