Pengilang, pemborong tukar kampit BPT, BPI berdepan tindakan tegas

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SEREMBAN - Pihak yang cuba menukar kampit beras putih tempatan (BPT) kepada kampit beras putih import (BPI) di peringkat pengilang atau pemborong wajar dikenakan tindakan tegas dan diburu.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu selaras dengan Peraturan Kawalan Gred dan Harga serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

"Jangan anggap kerajaan dan jentera kerajaan tidak cakna atau sekadar berdiam diri mengenai isu kekurangan bekalan beras di pasaran negara ini.

"Hakikatnya, pihak kerajaan sudah dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan beras rakyat tidak akan terputus, memandangkan ia merupakan makanan ruji rakyat di negara kita," katanya pada Isnin.

Beliau yang juga Exco Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri berkata, BPT adalah bahan kawalan pada harga sekitar RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg), manakala harga BPI pula tidak dikenakan kawalan, atau dengan kata lain ia ditentukan secara bebas oleh kuasa pasaran.

"Walaupun masih terdapat beberapa rungutan berkaitan kekurangan bekalan beras di pasaran, namun kita menjangkakan isu ini akan selesai dalam beberapa minggu lagi.

"Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga telah memberi jaminan yang sama kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mendapatkan keuntungan berganda atas keperitan yang dihadapi rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Soal saya, dimanakah hilangnya nilai integriti pengilang dan pemborong yang melakukan perbuatan ini?.

"Saya tidak boleh berkompromi terhadap tindakan sesetengah pihak yang ‘menangguk di air keruh’ sehingga menyebabkan rakyat menjadi mangsa ketamakkan sesetengah pengilang dan pemborong ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar rakyat tidak membuat pembelian panik.

"Pilihlah untuk mematuhi syor pihak berwajib dan selepas itu yakinlah bahawa keadaan akan kembali normal seperti biasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!