AKP UiTM, SWiSS tandatangan MoU kerjasama bangunkan industri keselamatan
SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kepolisan UiTM-PDRM (AKP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Industri Keselamatan Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWiSS) dalam kerjasama untuk membangunkan industri keselamatan negara.
Pengerusi SWiSS, Tan Sri Musa Hassan berkata, ia merupakan satu lakaran sejarah yang bermakna dalam usaha membentuk perubahan industri tersebut bagi menjaga kesejahteraan, keselamatan dan keamanan rakyat.
“Justeru, menerusi kerjasama yang terjalin akan mewujudkan laluan kerjaya bagi memastikan industri ini dapat diperkasakan secara profesional di masa hadapan menerusi kursus akademik yang disediakan.
“Saya juga menyeru semua syarikat keselamatan dalam negara untuk turut serta dalam memastikan setiap pengawal mempunyai kemahiran dan kompetensi sewaktu menjalankan tugas,” katanya ketika sidang media Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di UiTM Shah Alam, pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah AKP, Prof Dr Mohammad Noor Jalil, Timbalan Pengerusi SWiSS, Datuk Noor Awang, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dan barisan jawatankuasa majlis MoU.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, kerjasama tersebut secara tidak langsung akan meluaskan pendedahan dan akses pengetahuan serta kemahiran yang menepati keperluan organisasi keselamatan kini.
Menurutnya, ia juga salah satu langkah dalam memastikan aspek penyampaian perkhidmatan sektor itu ke tahap lebih tinggi melalui proses penambahbaikan kemahiran profesional dengan kemajuan teknologi yang ada.
“Ia secara tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai individu yang berkelayakan untuk menceburi kerjaya ini dan meningkatkan kepakaran modal insan.
“Ini juga merupakan salah satu inisiatif untuk memastikan UiTM sentiasa relevan dalam pembangunan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang seiring dengan keperluan kini selaras dengan perancangan strategik UiTM2025,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!