Cadangan bentuk Kerajaan Perpaduan di Johor hanya mahu melaga-lagakan
JOHOR BAHRU - Cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor disifatkan seperti mahu melaga-lagakan pentabiran kerajaan negeri dengan pihak Pakatan Harapan (PH) yang sudah pun menjalin hubungan baik.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kestabilan di Johor ketika ini sepatutnya dikekalkan dan tidak perlu lagi diganggu dengan kenyataan-kenyataan politik yang tidak sepatutnya dikeluarkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, perkara yang lebih utama ketika ini ialah memberi tumpuan menjayakan perancangan Agenda Johor dalam usaha memastikan negeri terus stabil dan maju menjelang 2030.
"Pentadbiran kerajaan Johor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ada hari ini cukup kuat dan saya yakin dengan barisan wakil rakyat yang memenangi dua pertiga sudah memadai.
"Jika ingin pecah belahkan lagi keadaan yang stabil ini, saya bimbang dengan adanya kenyataan sebegini akan merosakkan agenda perpaduan yang sedia terbentuk ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Kolej Kemahiran Johor dengan empat rakan strategik dalam bidang pembuatan dan penyediaan makanan serta automotif di Hotel Seri Malaysia di sini pada Isnin.
Pada Sabtu, Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, sudah sampai masanya Johor menimbang menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dalam usaha mengukuh hubungan antara Pakatan Harapan (PN) dan BN selain juga mewujudkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan peringkat negeri.
Menurutnya yang Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, ketika ini wakil-wakil daripada PH sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masih tiada dalam kerajaan negeri sebagai Exco.
Sementara pada Ahad, Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, hubungan BN dan PH yang kukuh Johor diyakini akan diterjemahkan dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan wakil-wakil daripada PH perlu dilantik menjadi Exco.
Mengulas lanjut, Hairi berkata, ADUN daripada PH yang diberikan tanggungjawab sebagai pengimbang sudah memadai kerana turut main peranan penting dalam kerajaan negeri.
Jelasnya, perkara itu juga telah dipersetujui dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mac lalu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berikutan peranan mereka sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.
Sehubungan itu, tiada keperluan jawatan Exco kerajaan negeri diberikan setelah kerajaan Johor sudah terbentuk.
Berkenaan saranan Aminolhuda supaya wakil PH diberikan jawatan Exco di peringkat negeri, beliau yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri menganggap itu hanya pendapat peribadinya.
"Johor telah mengadakan proses pilihan raya negeri (PRN) lebih awal. Bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai, baru kerajaan Perpaduan ditubuh di peringkat Pusat.
"Di Johor ini, kita mempunyai pembangkang dan pengimbang. Saya rasa pengimbang sudah memadai dengan apa yang kita persetujui dan harus akur perkenan Tuanku Sultan Johor," katanya.
Bagaimanapun sebagai Exco kerajaan negeri katanya, beliau akur dengan sebarang keputusan dibuat Sultan Johor sama ada kerajaan negeri sedia kekal atau perlu membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!