Perak FC sahkan tiket separuh akhir Piala Malaysia

No Image Caption
A
A
A

JARINGAN tunggal Wan Zack Haikal mengesahkan tempat Perak FC ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC di Stadium Perak di Ipoh pada Isnin.

Lebih manis lagi kemenangan dengan agregat 3-2 itu disaksikan 14,852 penyokong yang hadir.

Perak yang memerlukan kemenangan untuk melangkah ke separuh akhir itu menurunkan kesebelasan utama mereka dengan mengekalkan Luciano Guaycochea sebagai kapten dan T Shaheeswaran berada di barisan terakhir.

Begitu juga dengan Sabah yang menyenaraikan pemain terbaik mereka dengan diketuai Park Taesu bagi menebus kekecewaan mereka apabila gagal memungut mata penuh di Stadium Likas pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia sebelum ini.

Minit awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur gerak ke kubu lawan masing-masing namun permainan banyak tertumpu di bahagian tengah.

Pada minit ke-25 kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil, Razlan Jofri Ali kepada Dominic Tan kerana mengasari pemain tuan rumah.

Skuad kendalian Yusri Che Lah hampir membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi percubaan Luka Milunovic namun berjaya ditepis keluar penjaga gol Sabah.

Perak membuat pertukaran pertama dengan mengeluarkan Firdaus Sayadi yang mengalami kecederaan dengan diganti Farris Izdiham pada minit ke-34.

Artikel Berkaitan:

berselang beberapa minit berikutnya, tuan rumah sekali lagi berpeluang kali ini menerusi penyerang sensasi mereka, Seo Seonung namun tendangannya diselamatkan palang gol.

Ketika separuh masa pertama hampir berakhir, penyerang Perak, Wan Zack Haikal menceriakan tuan rumah apabila berjaya menyudahkan hantaran Sunday Afolabi untuk gol pertama perlawanan.

Tamat separuh masa pertama menyaksikan Perak mendahului Sabah dengan jaringan 1-0.

Bersambung babak kedua, seorang lagi pemain Perak, Aiman Khairul Yusni dilayangkan kad kuning atas kesalahan menarik baju pemain lawan.

Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee kemudiannya membuat pertukaran pertama memasukkan Irfan Fazail mengeluarkan Stuart Wilkin yang menerima kad kuning.

Skuad Seladang dilihat lebih banyak menguasai perlawnan dengan beberapa percubaan ke arah pintu gol Sabah.

Sabah hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Ramon Machado namun palang gol menyelamatkan gawang Perak.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Perak melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2.

Perak dijadual bertemu pasukan selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim pada peringkat seterusnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!