[VIDEO] Bayi 'Mini Hulk' lahir bertubuh badan luar biasa
KENTUCKY - Seorang bayi perempuan digelar 'Mini Hulk' selepas dilahirkan dengan keadaan jarang berlaku yang menyebabkan bahagian dada dan lengan bersaiz besar luar biasa, lapor Metro.
Malah ibunya, Chelsea, 33, berkata orang ramai menyangkakan semasa mengandung dia bakal menimang cahaya mata kembar tiga kerana saiz perutnya yang membesar berbanding biasa.
Apabila Armani dilahirkan dia didianogsis dengan bentuk limfanggioma (tumor) yang teruk hingga kelihatan seperti seorang atlit 'bina badan kecil'.
Ibunya menyedari keadaan itu selepas melakukan imbasan ultra bunyi semasa kandungan berusia 17 minggu dan doktor memberi amaran mengenai cecair di sekeliling jantung bayinya.
Walaupun doktor memberi pelung sifar peratus untuk bayinya hidup, Chelsea masih mahu meneruskan proses kehamilannya.
"Apabila mendapat tahu mengenai perkara ini, hati saya hancur. Saya tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dan menangis setiap hari.
"Kami tidak pernah mempertimbangkan untuk menggugurkan janin ini selepas mendapati terdapat beberapa kebimbangan mengenai bayi yang bakal dilahirkan nanti," katanya.
Selepas bersalin, Armani mendapatkan rawatan pakar di hospital dan sejak itu dia menjalani prosedur berterusan untuk mengeluarkan cecair tambahan dari badannya.
Bagaimanapun, ia masih mempunyai kulit berlebihan atau berlapis-lapis selepas mengeluarkan cecair itu.
Kini, Armani berusia sembilan bulan dan dia dijangka menjalani pembedahan akhir tahun ini di mana doktor akan mengeluarkan cecair tambahan yang akan menyebabkan badan bayi itu mengecil.
Kemudian, dalam beberapa tahun akan datang, dia akan menjalani pembedahan seterusnya untuk membuang lebihan kulitnya.
Chelsea percaya bahawa anak perempuannya bakal dapat hidup normal dan tanpa kesakitan lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!