Jangan jual makanan ringan depan sekolah
JIKA ditanya siapa yang tidak sukakan jajan atau makanan ringan, penulis hampir pasti setiap daripada kita suka mengunyah jajan atau makanan ringan terutama ketika menonton televisyen, melakukan aktiviti santai dan ketika membuat kerja-kerja rumah atau di pejabat.
Namun begitu, sebagai ibu bapa sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk tumbesaran anak-anak terutama melibatkan aspek pemakanan.
Sejak anak dilahirkan, kita akan pastikan makanan paling berkhasiat iaitu air susu ibu (ASI) yang menjadi makanan pertama yang memasuki usus anak, bukan susu tepung atau sebaliknya.
Begitu juga ketika anak mula mengenal makanan seawal usia enam bulan kita akan menyediakan hanya makanan berkhasiat seperti puri buah-buahan, kentang lenyek, labu dan seumpamanya.
Bagaimanapun, tidak semua benda mampu dikawal terutama selepas anak-anak memasuki alam persekolahan di mana ibu bapa sudah tidak boleh menjadi ‘gatekeeper’ yang menentukan apa yang dimasukkan anak-anak ke dalam mulut.
Kebanyakan kanak-kanak tertarik dan menyukai makanan ringan. Hal ini boleh menjadi tabiat apabila ada sesetengah ibu ayah menyimpan ‘stok’ snek atau gula-gula di dalam rumah.
Pembungkusan keropok jajan berwarna-warni dan rasanya yang manis membuatkan ramai kanak-kanak ketagih untuk membelinya.
Antara contoh makanan ringan yang menjadi kegemaran ramai kanak-kanak adalah keropok, snek, gula-gula, coklat, bertih jagung, gula-gula getah dan semua makanan proses yang bukan termasuk dalam kategori ‘real food’.
Apa yang membuatkan penulis kesal ialah terdapat sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan menjual jajan di hadapan sekolah hampir setiap hari pada waktu persekolahan.
Setiap kali penulis mengambil anak pulang dari sekolah, dari jauh penulis kecewa melihat anak-anak menjinjing air minuman berwarna-warni bersama jajan yang dijamu bersama rakan-rakan.
Kesemua makanan itu menjadi hidangan ‘makan tengah hari mereka selepas habis waktu persekolahan, sementara menunggu kedatangan ibu bapa untuk pulang ke rumah.
Bagi pelajar yang perlu mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pula, ia menjadi hidangan untuk ‘mengalas perut’ mereka sebelum pulang sekolah sekitar jam 4 hingga 5.30 petang.
Meskipun menyedari jajan adalah makanan yang tidak berkhasiat, ramai mengambil mudah dan hanya menutup mata dengan alasan ‘biarlah budak-budak!’.
Bagi penulis, keadaan dan budaya ini perlu dihentikan segera dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu bertegas dalam perkara ini.
Mengapa penulis katakan ia perlu dihentikan? Kerana kita secara terang-terangan telah memperjudikan masa depan anak-anak kita dengan hidangan yang tidak berkhasiat itu.
Kita tahu bahawa jajan adalah pilihan sajian yang mengandungi tinggi kalori, tetapi kandungan zat nutrien adalah rendah.
Sebenarnya ia bukan sahaja makanan tidak berkhasiat, tetapi tinggi kalori kerana mengandungi kadar garam monosodium glutamate (MSG), lemak, pewarna tiruan dan minyak yang tinggi sehingga merangsang pelbagai deria rasa pada lidah yang membuatkan seseorang tertarik dan menginginkan makanan itu.
Hasilnya, tidak mustahil kanak-kanak akan menghidap obesiti, diabetes, lemah daya ingatan dan kerosakan gigi hasil sajian jajan setiap hari.
Berbanding menjual keropok atau gula-gula, adalah lebih baik dekatkan kanak-kanak dengan snek berkhasiat antaranya epal, kacang badam, kacang gajus, aiskrim homemade menggunakan buah-buahan segar, biskut oat, yogurt dan telur rebus.
Mungkin nasi bajet juga boleh dijual di depan pagar sekolah berbanding dengan menjual jajan. Tidak semua ibu bapa yang bekerja sempat menyediakan bekal makanan anak setiap hari kerana jadual dan masa yang kita ada tidak serupa.
Fikir-fikirkanlah, sudah tiba masanya tradisi menjual jajan kepada kanak-kanak dihentikan.
*Norhaspida Yatim adalah wartawan Sinar Harian Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!