Pindaan peraturan beri satu dimensi baharu kepada 900,000 ahli peladang

Azulita
Azulita
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 oleh Lembaga Pertubuhan Peladang akan memberi kebaikan kepada 900,000 peladang di samping memantapkan tadbir urus Pertubuhan Peladang (PP).

Ketua Pengarahnya, Azulita Salim berkata, pewartaan itu adalah selari dengan agenda kerajaan semasa yang mengutamakan kedaulatan undang-undang dalam mentadbir urus setiap organisasi.

"Pindaan ini dibuat secara teratur berdasarkan punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) dan telah dikuatkuasakan dengan sewajarnya.

"Tindakan menyemak dan meminda perundangan sebenarnya berbentuk dinamik dan sentiasa dilaksanakan dari masa ke masa mengikut kesesuaian perundangan terhadap keperluan semasa serta memerlukan perhatian kerajaan," katanya pada sidang media pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 di sini hari ini.

LPP mengumumkan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 telah diwartakan pada 22 April dan berkuat kuasa pada 1 Mei.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, LPP berkata, pewartaan tersebut merupakan pindaan kepada undang-undang sedia ada iaitu Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983.

"Tindakan itu adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk mereformasikan kepimpinan Pertubuhan Peladang di tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi memastikan tadbir urus PP menjadi lebih dinamik dan berdaya saing.

"Antara perkara yang dipinda adalah komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPN terdiri daripada empat anggota dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan lima dilantik oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, LPP berkata, sebagai pendaftar kepada semua Pertubuhan Peladang di negara ini pihaknya mengambil maklum terdapat bantahan daripada ahli-ahli peladang berhubung dengan pewartaan berkenaan.

"LPP berkeyakinan agenda reformasi ini akan diterima oleh masyarakat peladang demi memastikan institusi peladang kekal relevan.

"Pejabat Pendaftar telah dan sedang dalam proses memberi taklimat dan proses libat urus dengan ahli-ahli Peladang di Pertubuhan Peladang di setiap negeri bagi menjelaskan dengan lebih terperinci pindaan ini agar kefahaman yang lebih menyeluruh dapat diberikan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!