Siapa Presiden MCA terjawab, 3 parti masih jadi persoalan

No Image Caption
A
A
A

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berjaya mempertahankan jawatannya bagi penggal 2023 selepas menewaskan pesaingannya, Tan Chong Seng dengan majoriti undian sebanyak 558.

Bekas Menteri Pengangkutan itu yang menerima 569 undian jauh meninggalkan pencabarnya yang hanya meraih 11 undian.

Meskipun prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 disifatkan teruk apabila hanya memenangi dua kerusi di 44 kawasan, namun ia tidak meruntuhkan kepercayaan akar umbi terhadap beliau.

Malah kemenangan ini juga membuktikan bahawa kredibiliti Ka Siong masih diakui penyokongnya.

Selain itu, Timbalan Presidennya, Datuk Dr Mah Hang Soon turut mengekalkan jawatannya selepas menang tanpa bertanding.

Bagi Pas, jawatan presiden dan timbalannya masih menjadi persoalan kerana dijangkakan tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Penganalisis politik berpandangan jangkaan itu dibuat mengambil kira sokongan kuat diberikan akar umbi terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terdapat anggapan kepimpinan Presiden Pas itu masih lagi relevan untuk menerajui parti tersebut apabila menyaksikan kemenangan besar pada PRU15 iaitu 43 kerusi Parlimen termasuk menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris memaklumkan parti mereka tidak akan mempertandingkan jawatan utama di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian pada Perhimpunan Agung 2023 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 November akan datang.

Namun alasan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ketua sayap parti itu ditangguhkan tidak dinyatakan tetapi pemilihan pimpinan di peringkat cawangan masih diteruskan.

Berbeza pula dengan Parti Amanah Negara (Amanah), pihak mereka membuka peluang kepada semua kepimpinan untuk mencuba nasib dalam pemilihan jawatan utama parti itu pada penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Lembah Klang pada Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad yang menyatakan sistem pemilihan bagi setiap jawatan utama parti termasuk presiden, timbalan presiden dan tiga kerusi naib presiden sememangnya bersifat terbuka untuk direbut 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Nasional yang bakal terpilih menerusi undi perwakilan parti peringkat kawasan.

Walau bagaimanapun, jawatan tertinggi dalam parti politik wajar dipertandingkan kerana ia merupakan hak kepada akar umbi untuk memilih individu yang layak untuk memimpin.

Jangan disebabkan ketamakan kuasa dan kepentingan peribadi akhirnya yang menerima akibat adalah parti dan ahli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!