Sophia Loren jatuh bilik air, alami 'patah tulang yang serius'
PELAKON veteran Hollywood kelahiran Itali, Sophia Loren dikejarkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas terjatuh dalam bilik air di kediamannya di Geneva, Switzerland, pada Ahad lalu.
Memetik laporan Awani, seniwati yang genap usianya 89 tahun pada 20 September lalu dilaporkan mengalami beberapa ‘patah tulang yang serius’ pada pinggul dan pahanya, kata jurucakapnya, Andrea Giusti kepada agensi berita PA.
Giusti juga memaklumkan, kedua-dua anak lelaki Loren, Carlo dan Edoardo Ponti kini mendampingi ibu mereka.
Kata beliau kepada Reuters, pembedahan ke atas pelakon yang pernah meraih trofi Oscar itu "berjalan dengan baik dan Loren dinasihatkan berehat.”
Loren melalui fasa yang panjang dalam karier lakonannya selepas melalui kehidupan yang serba kekurangan semasa zaman kanak-kanaknya di Naples, Itali.
Dia bergelar bintang Hollywood dan memenangi Oscar pada tahun 1962 hasil kecemerlangannya dalam filem Vittorio de Sica, La Ciociara (Two Women) iaitu kisah mengenai seorang ibu dalam zaman perang yang mengalami penderaan seksual.
Kemenangan itu sekali gus memecah rekod kerana buat pertama kali dalam sejarah Oscar seorang pelakon lelaki atau perempuan memenangi Anugerah Akademi untuk lakonan bukan dalam bahasa Inggeris.
Loren juga berpengalaman berlakon di samping legenda-legenda seni Hollywood termasuk Marlon Brando, Frank Sinatra dan Cary Grant.
Pada tahun 1990, Loren meraih Anugerah Kehormat di Oscar sementara pada tahun 2021, namanya kembali mekar apabila membintangi filem The Life Ahead arahan anaknya, Edoardo Loren yang mendapat pujian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!