Liga Super: JDT cemas berdepan PDRM

Solari - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Solari - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui ‘cemas’ untuk berdepan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu kerana ia merupakan perlawanan yang bakal menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menjulang trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Bagaimanapun menurut Solari, dalam masa sama dia yakin kesebelasan pemain cukup bersemangat untuk mencatatkan kejayaan pada perlawanan berkenaan sekali gus dinobatkan selaku juara Liga Super 2023 di gelanggang sendiri.

“Akhirnya kita tiba ke saat ini di mana ia merupakan sasaran utama kita sejak awal musim iaitu untuk memenangi trofi ini buat kali ke-10 berturut-turut.

“Pemain kelihatan bersemangat menjelang perlawanan ini dan semestinya kami akan mempamerkan aksi terbaik bagi mencatatkan kemenangan.

“Seterusnya hasil kemenangan ini akan kami kongsi dengan penyokong sama ada di stadium mahu pun di rumah, kesemua kakitangan dan kami berazam untuk merealisasikan semua perkara ini,” katanya.

Untuk rekod, JDT mula muncul juara Liga Super sejak 2014 lalu iaitu di musim kedua penampilannya dalam saingan Liga Malaysia.

Sementara itu, Solari berkata, kesemua pemain perlu bersedia secukupnya bagi mengharungi aksi berdepan PDRM bagi memastikan kemenangan menjadi milik JDT.

Justeru menurut Solari, dia akan memilih kesebelasan utama terbaik untuk beraksi dan seterusnya memastikan kemenangan.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua pemain kami dilaporkan cergas walaupun sudah mengharungi dua perlawanan Liga Juara-Juara AFC, namun tetap bersemangat memberikan aksi terbaik.

“Ia juga merupakan sesuatu yang penting untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa bersedia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!