PRK Pelangai: Projek ikan keli sangkar dalam radar calon BN
BENTONG - Penternakan ikan keli sangkar dilihat antara produk yang berpotensi tinggi untuk diusahakan bagi menambah pendapatan penduduk di Agropolitan Chemomoi di sini.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata, ia memandangkan kawasan tersebut berdekatan dengan sungai.
Menurutnya, ikan keli mempunyai permintaan tinggi di pasaran dengan tawaran harga yang sangat bagus.
"Sini sebenarnya memang sangat sesuai sebab dekat dengan sungai. Dulu pernah buat projek ikan keli sangkar. Tapi disebabkan banjir, semua sangkar hilang dihanyutkan arus.
"Tapi ikan keli sangkar ini, harga memang bagus. Dari kos benih dan harga jual masih boleh bertahan. Antara kita nampak adalah yang itu (projek ikan keli sangkar). Sekarang dalam proses untuk meneruskan semula selepas ini," ujar beliau.
Beliau berkata sedemikian selepas Program Ziarah Kasih di Agropolitan Chemomoi di sini pada Isnin.
Ujar Amizar lagi, selain ikan keli, beliau melihat industri hiliran berasaskan pertanian tempatan sebagai produk perniagaan juga berupaya menjana pendapatan tambahan kepada penduduk.
Jelas beliau, menerusi konsep tersebut, produk yang diusahakan dapat dipelbagaikan penghasilannya secara kreatif dan bertahan lama.
Amizar berkata, pendapatan kira-kira 200 ketua isi rumah (KIR) di sini bergantung sepenuhnya dengan hasil penanaman getah yang diusahakan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
"Namun, untuk perancangan masa depan, kita akan memikirkan tanaman yang lebih sesuai, antaranya pelbagaikan produk hiliran sementara menunggu getah (yang hasilnya tiga empat tahun).
"Sementara menunggu itu, kita ada tanaman yang mempercepatkan pendapatan kepada semua penduduk.
"Buat masa ini, mereka menanam secara kecil-kecilan dan kita sedang menilai beberapa produk yang boleh dinaikkan sebagai produk hiliran utama kepada penduduk," tambah beliau.
Jelas Amizar, tanaman produk hiliran ini akan dilaksanakan secara berkelompok agar dapat mewujudkan satu produk satu industri di sini.
Katanya, terdapat beberapa cadangan jenis tanaman yang difikirkan, namun ia masih dalam penilaian Jabatan Pertanian kerana bergantung kepada kesesuaian dan kesuburan tanah.
"Tanaman di sini, kalau dilihat memang ada... seperti perbincangan penduduk, antara cadangannya ialah penanaman peria. Sebab peria ini, boleh digunakan sebagai pasaran di kawasan sebelah (berdekatan) iaitu di Felda Chemomoi.
"Ada satu usahawan yang mengusahakan produk hiliran peria di sana. Kita akan tanam di sini, dan jual di Felda Chemomoi. Itu salah satu produk, tapi masih mengkaji," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!